Mahkamah Tolak Saman Fitnah Anggota Parlimen Segambut - Berita Mahkamah | mStar

Mahkamah Tolak Saman Fitnah Anggota Parlimen Segambut

Diterbitkan: Isnin, 27 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng gagal dalam samannya terhadap bekas anggota DAP Bahagian Serdang Baru berhubung surat aduan yang didakwa berunsur fitnah dan dihantar kepada Lembaga Tatatertib Majlis Peguam.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menolak saman itu selepas mendapati Yap Kon Min, 66, selaku defendan, mempunyai justifikasi untuk membuat aduan kepada Majlis Peguam dan ia adalah komen berpatutan.

"Mahkamah bersetuju dengan pembelaan defendan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa unsur jahat dan aduan itu dibuat atas dasar komen berpatutan," katanya.

Beliau turut memerintahkan Lim, 41, dari parti DAP, membayar kos RM20,000 kepada Yap.

Penyataan tuntutan Lim mendakwa pejabat Menteri Besar Selangor, pejabat Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Setiausaha Kerajaan Negeri menerima salinan surat aduan itu pada 18 Mei 2012.

Antara lain, Lim mendakwa kata-kata fitnah itu menyebut beliau terlibat dalam aktiviti penyelewengan wang dan rasuah, menyalahgunakan kuasa sebagai ahli politik untuk kepentingan peribadi serta tidak layak menjadi peguam kerana tidak jujur.

Sehubungan itu, dia menuntut ganti rugi am, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan