Pengarah Syarikat Mengaku Tidak Bersalah Tubuh Syarikat Tanpa Kebenaran - Berita Mahkamah | mStar

Pengarah Syarikat Mengaku Tidak Bersalah Tubuh Syarikat Tanpa Kebenaran

Diterbitkan: Jumaat, 24 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat pemasaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat terhadap pertuduhan menubuhkan syarikat lain tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat, tahun lepas.

Ng Boon Let, 39, sebagai pengarah syarikat Sin Lee Marketing Sdn Bhd didakwa tanpa kebenaran mesyuarat agung telah terlibat dalam perniagaan yang bersaing dengan Sin Lee Marketing dengan menubuhkan syarikat Multi Global Enterprise Sdn Bhd untuk mendapat faedah bagi dirinya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di No 64, Persiaran 65C, Pekeliling Business Centre, di sini pada 18 Jan 2013 mengikut Seksyen 132(2)(e) Akta Syarikat 1965 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 132(3)(b) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM30,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia Shari'ah Abu menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Ravin Singh, yang mewakili tertuduh, memohon wang jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menanggung isteri, dua orang anak dan ibu yang sudah tua.

Hakim Dazuki Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Februari untuk sebutan. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan