Tiga Anggota Polis Didakwa Peras Pekerja Swasta

Diterbitkan: Rabu, 22 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa terhadap pertuduhan memeras tiga pekerja syarikat swasta, minggu lepas.

Mereka ialah Konstabel Mohamad Salman Malzuki, 27, Konstabel Mohamad Fadir Manaf, 32, dan anggota polis bantuan, Wan Mohamad Saiful Firdaus Wan Azmin, 31.

Kesemua tertuduh, bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, didakwa melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Emelda Sudirman, 33, Mohd Nadzri Abu Hassan Saari, 34, dan Mohd Hafiz Abu Hanifah, 29, bahawa mereka akan ditangkap polis kerana rumah mereka disyaki 'sarang' dadah.

Perbuatan itu mendorong Mohd Hafiz menyerahkan wang tunai RM20 kepada Wan Mohamad Saiful Firdaus di Rumah Pam Syabas, Jalan Dutamas 4, Sentul di sini pada 9.30 malam, 13 Januari lepas.

Kesemua tertuduh yang bertugas di Balai Polis Jinjang, didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Februari depan untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Nithia manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan