Bekas Pegawai Penerangan Daerah Ledang Didakwa Kemuka Lima Tuntutan Palsu

Diterbitkan: Isnin, 13 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Bekas Pegawai Penerangan Daerah Ledang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin, atas lima tuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Jabatan Penerangan Negeri Johor berhubung penyediaan perkhidmatan makanan dan minuman bernilai RM6,500, lima tahun lepas.

Zaid Md Amin, 60, yang bersara pada 2 Januari lepas, memohon dibicarakan selepas kelima-lima pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Bagi tuduhan pertama, Zaid didakwa dengan niat memperdayakan Jabatan Penerangan Negeri Johor menerusi satu dokumen pesanan kerajaan yang mengandungi butiran matan yang palsu, yang sebenarnya tidak dilaksanakan, iaitu perkhidmatan penyediaan makanan dan minuman Program Pemimpin Bersama Rakyat di Komuniti Bestari Kampung Lerek Anjung, Ledang pada 9 Mei 2009, yang berjumlah RM500.

Bagi tuduhan kedua hingga empat, dia didakwa dengan niat sama menerusi dokumen kerajaan bagi penyediaan perkhidmatan dan program yang sama di Kampung Durian Chondong, Kampung Parit Ghani dan Kampung Serom 3, Ledang pada 10, 15 dan 16 Mei 2009, yang masing-masing berjumlah RM500.

Bagi tuduhan kelima, Zaid didakwa dengan niat sama menerusi dokumen kerajaan bagi penyediaan perkhidmatan dan program sama di Dewan Serbaguna Bukit Gambir pada 31 Julai 2009, yang berjumlah RM4,500.

Dia didakwa melakukan empat pertuduhan itu di Pejabat Daerah Ledang, pada 18 Mei 2009 manakala pertuduhan kelima didakwa dilakukan di pejabat sama pada 4 Ogos 2009.

Zaid dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai butiran matan yang palsu atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Noorfazlin Hamdan menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan tersebut.

Peguam A.Ashok kemudian memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya itu baru bersara selepas berkhidmat selama 35 tahun, perlu menanggung seorang isteri, dua anak yang sedang belajar dan seorang ibu mentua yang uzur selain tertuduh memberi kerjasama baik sepanjang siasatan kes itu.

Mohamad Haldar membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 3 Februari depan untuk pengurusan kes. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan