Wanita Didakwa Amuk Di Luar Jabatan Perdana Menteri Diperintah Bela Diri

Diterbitkan: Jumaat, 10 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Muhdalena Ahmad, yang didakwa mengamuk bersama-sama seorang lelaki bersenjatakan pedang samurai di luar kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Julai 2012, diperintah membela diri terhadap empat pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Mohamed Kamil Nizam memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Muhdalena, 29, atas empat pertuduhan.

Empat pertuduhan itu ialah melakukan ugutan jenayah terhadap polis bantuan Kpl Ridzuan Megat Ahmad di Kompleks 'B' JPM pada 9 Julai 2012, memiliki sebilah parang, mengingkari perintah Ridzuan supaya meletakkan senjata dan gagal mematuhi nasihat seorang menteri supaya mendapatkan pas atau permit sebelum memasuki premis berkenaan yang merupakan kawasan larangan.

Mohamed Kamil menetapkan 13 Februari untuk wanita itu membela diri.

Hakim juga menetapkan dua lagi tarikh 24 Februari dan 25 Februari untuk mendengar keterangan dua pakar psikiatri iaitu Umi Adzlin Silim dari Hospital Putrajaya serta Pengarah dan Perunding Psikiatri Forensik Hospital Bahagia, Ulu Kinta Dr Rabaiah Mohd Salleh.

Peguam yang mewakili Muhdalena, M.Visvanathan memaklumkan mahkamah anak guamnya itu akan memberikan keterangan secara bersumpah dan beliau juga akan memanggil dua psikiatri itu sebagai saksi pembelaan.

Semasa menyampaikan keputusannya, Mohamed Kamil berkata keterangan Ridzuan membantunya dalam membuat keputusan bahawa Muhdalena telah mengugut untuk mendatangkan bahaya kepada pegawai polis bantuan itu, berdasarkan keterangannya bahawa tertuduh dan rakan lelakinya telah membuat ugutan dan menyerang walaupun diarah meletakkan senjata.

Ridzuan dalam keterangannya berkata rakan Muhdalena, Khalil Afendi Abd Hamid menjerit "Polis jangan masuk campur, kalau tak, mati", dan selepas itu kedua-dua mereka meluru ke arahnya, memaksanya melepaskan tembakan.

"Walaupun Ridzuan seorang anggota polis bersenjata tetapi dengan mengambil kira tertuduh tidak berhenti walaupun diberi amaran tiga kali dan sebaliknya terus meluru ke arahnya, saya faham keadaan itu boleh menyebabkan Ridzuan bimbang akan nyawanya," katanya.

Mohamed Kamil berkata tiga pegawai polis di tempat kejadian dan rakaman CCTV membuktikan Muhdalena bersenjatakan parang di tempat kejadian.

Beliau juga memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen bagi pertuduhan ketiga dan keempat terhadap Muhdalena.

"Seorang saksi pihak pendakwaan Mohd Sukri Baharudin, anggota polis bantuan yang bertugas di pintu utama kompleks itu dalam keterangannya menyatakan Muhdalena masuk ke kawasan itu tanpa mendapatkan kad atau permit," kata Mohamed Kamil.

Muhdalena didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Kompleks B, JPM pada kira-kira 2.30 petang, 9 Julai, 2012.

Muhdalena dan Khalil Afendi, 47, dilaporkan mengamuk di luar kompleks JPM dengan bersenjatakan pedang samurai sebelum mereka ditembak dan Khalil meninggal dunia kemudiannya akibat kecederaan.

Bagi pertuduhan melakukan jenayah ugut mengikut Seksyen 506, Kanun Keseksaan, dia berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan memiliki senjata mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Muhdalena juga berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya mengikut Akta Tempat Larangan dan Kawasan Larangan 1959. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan