Rasuah: Penguasa Kastam Dipenjara Sehari, Denda RM10,000

Diterbitkan: Isnin, 6 Januari 2014 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Suhaimi (bertutup muka) dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 selepas menerima rasuah sebanyak RM1,500 daripada seorang peniaga di Kluang, tahun lalu. - fotoBERNAMA
Suhaimi (bertutup muka) dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 selepas menerima rasuah sebanyak RM1,500 daripada seorang peniaga di Kluang, tahun lalu. - fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Seorang penguasa Kastam dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin kerana menerima rasuah sebanyak RM1,500 daripada seorang peniaga di Kluang pada November lepas.

Suhaimi Abdul Wahab @ Abdul Hamid, 40, yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz, dituduh menerima menerima suapan berkenaan daripada Leong Po Ting sebagai dorongan agar dia mengurangkan kadar kompaun terhadap premis Dream-dream Cafe yang menjalankan perniagaan menjual minuman keras tanpa lesen.

Tertuduh yang diwakili peguam Liow Boon Lee didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 15 November lalu kira-kira jam 3.25 petang di dalam bilik Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kluang.

Mengikut fakta kes, tertuduh sebelum itu menjalankan serbuan di premis berkenaan pada 13 November tahun lepas dan mendapati premis terbabit menjual minuman keras tanpa memiliki lesen yang sah.

Berikutan itu, tertuduh meminta suapan daripada Leong sebanyak RM2,000 sebagai dorongan untuk mengurangkan kompaun dan pengadu kemudiannya melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) sebelum ke pejabat tertuduh dengan membawa bersama wang tunai RM2,000.

Suhaimi kemudian mengambil sebanyak RM1,500 dan hanya mengeluarkan resit kompaun sebanyak RM500 dan sehubungan itu tertuduh ditahan SPRM bagi tujuan pendakwaan.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Pegawai Pendakwa SPRM Noorfazalin Hamdan kemudian meminta mahkamah supaya menjatuhi hukuman yang setimpal kerana sebagai penguat kuasa yang diberikan amanah oleh kerajaan, tertuduh tidak seharusnya melakukan perbuatan tersebut.

Tertuduh bagaimanapun merayu agar diringankan hukuman berikutan dia selepas ini tidak lagi mempunyai pekerjaan dan dalam masa yang sama terpaksa menanggung tiga anak berumur empat hingga 13 tahun selain ibu bapanya yang uzur. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan