Kalimah Allah, Sensitiviti Agama Jadi Topik 'Perbicaraan' Orang Ramai Pada 2013

Diterbitkan: Sabtu, 21 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Apabila kalimah 'Allah' dibawa ke mahkamah, ramai yang memberi perhatian, dan saluran yang diambil sesetengah pihak ini menjadikan ia topik 'perbicaraan' orang ramai tahun 2013.

Walaupun isu ini tercetus pada 2009, tetapi perhatian tertumpu apabila kes itu dibawa untuk rayuan di mahkamah tahun ini.

Pada 14 Oktober lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, sebulat suara memutuskan membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang gereja Katolik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan majalah mingguan mereka 'The Herald'.

Keputusan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakannya.

Hakim Mohamed Apandi berkata mahkamah berpendapat bahawa kalimah Allah tidak pernah menjadi bahagian penting dalam amalan kepercayaan agama Kristian.

Beliau berkata dengan mengambil kira fakta sejarah dan agama, beliau tidak dapat menemui sebarang sebab munasabah kenapa responden (Titular Roman Catholic Archbishp of Kuala Lumpur) berkeras untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan buletin mingguan mereka.

"Nama Allah tidak muncul walaupun sekali sama ada dalam kitab Perjanjian Lama atau Baharu. Dalam dunia Bible, 'God' sentiasa dikenali sebagai Yahweh," kata Hakim Mohamed Apandi.

Yang menjadikan 'perbicaraan' orang ramai ini berterusan ialah apabila kes itu tidak berakhir di situ kerana pihak Gereja Katolik telah membuat permohonan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan yang akan didengar pada 24 Feb 2014 di Mahkamah Persekutuan.

Selain kalimah Allah, isu mempermainkan agama oleh pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee turut menghangatkan cerita mahkamah tahun ini apabila mereka didakwa di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Penapisan Filem 2002 dan Kanun Keseksaan.

Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook iaitu kandungan gambar dan komen hidangan berbuka puasa tetapi menggunakan Bak Kut Teh (daging babi) dengan logo kononnya halal.

Mereka juga didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di laman sosial dan turut menghadapi pertuduhan memuat naik di laman Facebook kandungan gambar dan komen yang berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.

Kehangatan 'perbicaraan' orang ramai mengenai pasangan ini tertangguh sementara apabila mereka akan dibicarakan pada 8 Januari tahun depan.

Turut tersenarai dalam diari kes utama dan hangat mahkamah pada tahun ini adalah keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik daripada tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan di akhir kes pembelaan.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan 25 orang saksi dan sebanyak 173 eksibit termasuk dokumen kerajaan berstatus 'rahsia' manakala Dr Ling memanggil sembilan saksi, termasuk dirinya dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Ling, 70, berhak untuk menarik nafas lega apabila Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak merayu atas keputusan itu.

Pencerobohan warga Filipina di Lahad Datu turut menjadi episod penting perbicaraan besar di mahkamah tahun ini.

Kes ini merupakan kes kedua yang dibicarakan melibatkan pertuduhan memerangi Yang di-Pertuan Agong selepas kes kumpulan pemberontak Al Maunah di Bukit Jenalik Sauk, Perak pada tahun 2000.

Sebanyak 31 tertuduh termasuk empat rakyat Malaysia dihadapkan ke muka pengadilan, seorang daripadanya adalah anggota polis Koperal Detektif Hassan Ali Basari yang didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk menjadi anggota kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong yang boleh membawa hukuman mati.

Hassan yang didakwa menyembunyikan maklumat, dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun, manakala kes terhadap 30 tertuduh lagi akan mula dibicarakan pada 6 Januari 2014 di Penjara Kota Kinabalu.

Satu lagi kes ancaman keganasan yang dibawa ke mahkamah ialah pengusaha kantin, bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat, dan pembantunya Muhammad Hilmi Hasim, yang didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas Tanzim Al-Qaeda Malaysia.

Kedua-duanya masih menunggu proses perbicaraan dan berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Pada tahun ini juga, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada tuduhan membunuh wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, kes pembunuhan berprofil tinggi yang menggemparkan negara pada 2006.

Panel tiga hakim mengetepikan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 2009 dan berikutan keputusan itu pihak pendakwaan telah mengemukakan rayuan yang akan didengar di Mahkamah Persekutuan.

Selain itu, lantikan peguam terkenal Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai pendakwa utama dalam rayuan terhadap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat, turut menjadi isu tahun ini dan Anwar telah membuat permohonan sebanyak dua kali untuk mengetepikan lantikan berkenaan.

Permohonan pertama beliau ditolak Mahkamah Rayuan pada 17 September tahun ini dan rayuannya di Mahkamah Persekutuan juga ditolak. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan