Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan Alvin, Vivian Tangguh Perbicaraan

Diterbitkan: Jumaat, 20 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Permohonan Alvin dan Vivian untuk menangguhkan perbicaraan telah ditolak Mahkamah Tinggi pada Jumaat.
Permohonan Alvin dan Vivian untuk menangguhkan perbicaraan telah ditolak Mahkamah Tinggi pada Jumaat.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan pasangan kontroversi, Alvin Tan dan Vivian Lee yang didakwa mempersenda umat Islam dalam laman Facebook untuk menangguhkan perbicaraan kes mereka.

Hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim menolak permohonan itu selepas mendengar hujahan peguam Chong Joo Tian yang mewakili pasangan itu dan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Kamardin dalam penghakimannya berkata tiada merit dalam permohonan itu selain alasan yang dikemukakan kedua-dua pemohon tidak mencukupi bagi membolehkan mahkamah membenarkan penangguhan prosiding itu.

Beliau berkata alasan kedua-dua pemohon bahawa sekiranya mahkamah membenarkan perbicaraan diteruskan tanpa menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan akan memprejudiskan mereka, adalah tidak berasas.

"Dengan itu permohonan mereka ditolak dan perbicaraan di Mahkamah Sesyen akan diteruskan," katanya.

Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, mengemukakan permohonan menangguhkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen sementara menunggu rayuan diputuskan Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Pada 21 Nov lepas, Kamardin menolak permohonan pasangan itu untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi mereka mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan dengan alasan pertuduhan yang dibuat terhadap mereka adalah sah, teratur dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, Tan dan Lee didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!)' yang mengandungi logo halal, berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan, di CAF-Syed Restaurant Jalan Dang Wangi di sini antara 11 dan 12 Julai lepas.

Mereka juga didakwa memuat naik satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian-Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang sama pada tarikh sama di Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini mengikut Akta Hasutan 1948.

Mereka turut berdepan pertuduhan mempamer gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama antara 6 dan 7 Julai lepas mengikut Akta Penapisan Filem 2002.

Terdahulu Chong dalam hujahannya berkata sekiranya mahkamah membenarkan perbicaraan itu diteruskan tanpa menunggu keputusan rayuan, dilihat akan memprejudiskan kedua-dua anak guamnya sekiranya keputusan perbicaraan di Mahkamah Sesyen tidak memihak kepada mereka.

Wan Shaharuddin pula berhujah tiada keadaan khas yang membolehkan mahkamah membenarkan penangguhan perbicaraan itu dan jika permohanan kedua-dua pemohon dibenarkan, maka ia akan memprejudiskan pihak pendakwaan kerana tarikh bicara ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen di sini selama tiga hari bermula 8 Jan depan.

"Permohonan itu dibuat hanya untuk melengah-lengahkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan