Akuan Berkanun Bekas Pegawai Polis Dibuat Berasaskan Dengar Cakap - Shafee

Diterbitkan: Khamis, 19 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata permohonan kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan beliau sebagai pendakwa utama dalam rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat, perlu ditolak kerana ia banyak bergantung pada bukti dengar cakap.

Dalam hujahnya kepada Mahkamah Rayuan di sini Khamis, Muhammad Shafee berkata akuan berkanun (SD) yang dibuat bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim adalah berdasarkan bukti dengar cakap serta tuduhan bersifat remeh.

Beliau memberitahu panel tiga anggota yang diketuai Hakim Datuk Aziah Ali bahawa penulis SD itu (Mat Zain) tidak pernah diperiksa atau mengemukakan afidavit yang membolehkan mahkamah membuat pengesahan tentang kebenaran tuduhannya.

Muhammad Shafee berkata semakan dengan Jabatan Insolvensi menunjukkan Mat Zain seorang muflis dan gagal melunaskan pinjaman peribadi yang diambil daripada seorang ahli perniagaan tidak lama selepas beliau bersara daripada pasukan polis.

Menurut peguam kanan itu lagi, permohonan berkenaan dibuat berdasarkan isu undang-undang dan fakta sama yang telah diputuskan Mahkamah Persekutuan.

"Permohonan ini tidak lebih daripada suatu permohonan remeh dan menyusahkan...untuk melambat-lambatkan dan memanjangkan tempoh pendengaran rayuan kes liwat utama kedua," kata Muhammad Shafee.

Dua lagi anggota panel itu ialah Hakim Datuk Rohana Yusoff dan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Sementara itu, dalam hujahnya, Tommy Thomas, peguam bela utama yang mewakili Anwar, berkata Muhammad Shafee melakukan salah laku serius apabila tidak membuat laporan tentang tuduhan yang ditimbulkan terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail oleh Mat Zain berhubung kejadian 'mata lebam' Anwar.

Tommy mendakwa tindakan Muhammad Shafee menerima pelantikan oleh Peguam Negara untuk mengetuai rayuan itu merupakan suatu salah laku profesional oleh seseorang peguam seperti yang terkandung dalam Peraturan-peraturan Profesion Guaman (Amalan dan Etika) 1978.

Dalam penghujahannya selama hampir dua jam, Tommy berkata Jabatan Peguam Negara mempunyai ramai calon berpengalaman lain untuk mengendalikan kes rayuan.

Hakim Aziah menetapkan pagi esok untuk mengumumkan keputusan panel itu. Beliau juga menetapkan 12 dan 13 Februari sebagai tarikh pendengaran rayuan utama kes berkenaan.

Pada 6 Disember, Anwar, 66, memfailkan permohonan kedua untuk mengetepikan Muhammad Shafee daripada mengetuai pasukan pendakwaan.

Kali ini, beliau menggunakan maklumat daripada SD Mat Zain sebagai alasan untuk memfailkan permohonan itu.

Permohonan pertama beliau ditolak Mahkamah Rayuan pada 17 Sept dan beliau juga tidak berjaya dalam rayuan yang dikemukakan kepada Mahkamah Persekutuan.

Pada 9 Januari tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan