Perbicaraan Kes Menyamar Kerabat Raja Kedah 10 Februari

Diterbitkan: Rabu, 11 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret di sini Rabu menetapkan 10 Februari depan sebagai tarikh perbicaraan kes seorang lelaki yang menyamar kerabat Raja Kedah.

Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha menetapkan tarikh itu selepas tertuduh, Roshidi Fadzil, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Roshidi, 47, dari Taman Bunga Raya, Melaka, dituduh menipu Ooi Ten Seng, 33, dengan menyamar sebagai kerabat raja Kedah Yang Teramat Mulia Tunku Putera Roshidi Tunku Fadzil, di Dewan Banquet Hotel Cititel di sini pada 23 Okt tahun lepas.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Roshidi juga didakwa menggunakan lambang Pertubuhan Amal Kebajikan Islamiah Malaysia (Pakim Diraja atau Serampang Tiga) tanpa kebenaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 23 Okt 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga bulan atau denda tidak lebih RM3,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Muhd Yahya Zakaria. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan