Lelaki Dihukum Penjara Enam Tahun Samun Kad Tambah Nilai

Diterbitkan: Selasa, 3 Disember 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Gara-gara menyamun sekeping kad tambah nilai prabayar bernilai RM5 dan mencederakan pemilik kedai, seorang pemasang kabel dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas dia didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.

Hakim Mohd Yusoff Yunus menjatuhi hukuman itu terhadap Rizal Yusof, 29, dari Kampung Wakaf Zain, Tawang, Bachok, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

"Pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata dan mahkamah dengan ini menjatuhi hukuman penjara selama enam tahun berkuat kuasa dari tarikh hukuman hari ini," kata Mohd Yusoff sewaktu membacakan penghakimannya di akhir kes pembelaan.

Rizal didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas menyamun kad tambah nilai prabayar itu hingga menyebabkan kecederaan kepada pemilik kedai, Rosri Yusof, 41, di sebuah kedai runcit di Kampung Cherang, Jalan Dusun Raja di sini pada pukul 11 malam, 28 Januari 2012.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Salam Yusof manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan