Isu Auku: Bekas Pelajar USM Gagal Peroleh Kebenaran Merayu

Diterbitkan: Jumaat, 29 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Usaha seorang bekas pelajar Universiti Sains Malaysia bagi mencabar Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang didakwa tidak mengikut perlembagaan serta menyalahi undang-undang, bagi membersihkan rekodnya daripada salah laku disiplin, berakhir Khamis.

Ini berikutan kegagalan Soh Sook Hwa, 31, memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, yang sebelum ini tidak memihak kepadanya.

Soh, bekas pelajar komunikasi, diberi teguran dan didenda RM200 oleh lembaga disiplin USM selepas didapati bersalah pada 2 Disember 2004 melanggar AUKU dengan berkempen untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum 2004.

Panel lima hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum sebulat suara menolak permohonan Soh.

Dalam penghakimannya, Malanjum berkata kebenaran itu tidak boleh diberi kepada Soh kerana dia gagal memenuhi syarat asas Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datin Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Soh, yang kini pembantu peribadi Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 16 Ogos 2005 bagi mencabar Seksyen 15 AUKU yang melarang pelajar terlibat dengan parti atau pertubuhan politik.

Beliau turut memohon satu perintah mandamus bagi mengetepikan keputusan Menteri Pengajian Tinggi menolak rayuannya berhubung tindakan lembaga disiplin USM menegur serta mendendanya.

Pada 4 Jun 2010, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Soh selepas memutuskan beliau tidak mempunyai alasan bagi mencabar Seksyen 15 memandangkan ia sudah dipinda pada 2009.

Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan Soh pada 19 April lepas.

Soh menamatkan pengajian pada 2005 dan kini merupakan Timbalan Bendahari Parti Sosialis Malaysia.

Dia diwakili peguam Ang Hean Leng manakala Peguam Kanan Persekutuan Noor Hisham Ismail bagi pihak menteri. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Jumaat, 13 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Farisha Irish - Tak Malu

Khamis, 12 Oktober 2017 9:00 PM

Hafiz Keliru, Saya Tak 'Madukan' Suami - Joy Revfa

Khamis, 12 Oktober 2017 5:22 PM

Punyalah Menangis, Pun Tak Lepas...

Khamis, 12 Oktober 2017 2:00 PM

Xpose Band 'Geng' Jurutera

Kolumnis

iklan

Iklan