Tipu NFCorp: Mahkamah Pinda Pertuduhan Dengan Masukkan Nama Tun Mahathir

Diterbitkan: Selasa, 26 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen pada Selasa meminda lima pertuduhan menipu bekas Pengarah Syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) yang dihadapi Datuk Shamsubahrin Ismail dengan memasukkan nama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lima pertuduhan itu.

Hakim Rozilah Salleh meminda kelima-lima pertuduhan menipu itu dalam penghakimannya semasa memerintahkan Shamsubahrin membela diri atas lima pertuduhan menipu Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail membabitkan wang berjumlah RM1.755 juta, dua tahun lepas.

Rozilah membuat pindaan itu mengikut Seksyen 158 Kanun Tatacara Jenayah.

Hakim itu juga memerintahkan Shamsubahrin, 47, seorang ahli perniagaan membela diri terhadap 17 lagi pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan wang sama (RM1.755 juta).

Dalam keputusannya, Rozilah berkata mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Selepas membacakan keputusannya, Rozilah meminta jurubahasa mahkamah membacakan semula kesemua pertuduhan pindaan itu kepada Shamsubahrin.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap kelima-lima pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Shamsubahrin, didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir bagi membantu Mohamad Salleh dan menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Sid's Pub di H2, Taman Tunku, Off Langkat Tunku di sini pada 6 petang, 20 November 2011 dan didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua hingga kelima, Shamsubahrin didakwa menipu iaitu secara tidak jujur memujuk Mohamad Salleh dengan menyatakan dia disuruh Dr Mahathir membantu dan menawarkan untuk melakukan kerja-kerja konsultan.

Perbuatan itu mendorong Mohamad Salleh menyerahkan empat keping cek yang kesemuanya bernilai RM1.755 juta dan mempercayai sebahagian daripada wang itu adalah untuk bayaran perkhidmatan rundingan, nasihat dan untuk diberikan kepada pegawai polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Perdana, bagi menutup kes yang sedang disiasat polis berkaitan NFCorp.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di beberapa buah bank di Taman Tun Dr Ismail; Kuala Lumpur City Centre (KLCC); dan di Petaling Jaya antara 25 November 2011 dan 5 Disember 2011.

Shamsubahrin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia juga berdepan 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan kerana terdapat elemen baharu dalam pertuduhan yang memerlukan pihaknya menentukan saksi-saksi yang bakal dipanggil dalam perbicaraan membela diri.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Disember ini untuk sebutan dan tiga hari mulai 20 Februari tahun depan untuk perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan SPRM Datuk Abdul Razak Musa. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan