Timbalan Pengerusi SPR Nafi Terlibat Projek IC Di Sabah Seperti Dilapor Harakah

Diterbitkan: Jumaat, 22 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar ditemani isteri Datin Hamidah Salleh ketika tiba di Kompleks Mahkamah Persekutuan Jalan Duta mengenai kes mengambil tindakan terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berhubung kenyataan berbaur fitnah dan tidak mahu memohon maaf. -fotoBERNAMA
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar ditemani isteri Datin Hamidah Salleh ketika tiba di Kompleks Mahkamah Persekutuan Jalan Duta mengenai kes mengambil tindakan terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berhubung kenyataan berbaur fitnah dan tidak mahu memohon maaf. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar menafikan beliau terlibat dalam 'Projek IC' di Sabah atau memegang jawatan Pengerusi SPR di negeri itu sebagaimana dilapor akhbar Harakah.

Dalam penyataan saksi kepada Mahkamah Tinggi pada Khamis, Wan Ahmad, 65, berkata beliau tidak pernah berkhidmat di Sabah sepanjang kariernya bersama SPR.

Oleh itu, Wan Ahmad berkata dua artikel yang diterbit akhbar itu jelas memfitnahnya apabila mendakwa beliau terlibat dalam 'Projek IC' di Sabah ketika menjadi Pengerusi SPR di negeri berkenaan.

"Ini sudah tentu memfitnah dan mengaibkan saya kerana saya tiada kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan 'Projek IC' di Sabah," katanya pada perbicaraan kes saman terhadap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu atau Mat Sabu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, pencetak akhbar Harakah iaitu Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, Ketua Pengarang akhbar itu Ahmad Lutfi Othman dan penulis artikel Aziz Muda.

Pada 5 Mac lepas, Wan Ahmad memfailkan saman mendakwa Mat Sabu mengeluarkan kata-kata fitnah dalam artikel bertajuk 'Wan Ahmad Tak Boleh Dipercayai' dan 'Ragu Peranan SPR - Wan Ahmad Omar Mesti Letak Jawatan' dalam Harakah edisi Jumaat 1-3 Februari 2013 selepas ditemu ramah pada 29 Januari lepas.

Beliau memaklumkan mahkamah akibat penerbitan artikel itu, reputasi dan kredibilitinya terjejas teruk.

"Tuduhan-tuduhan itu adalah sangat serius yang mana ia telah menyebabkan kehinaan dan keaiban kepada saya serta keluarga saya di mata khalayak ramai dan masyarakat awam baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa," katanya.

Menceritakan bagaimana reputasi dan kredibilitinya terjejas, Wan Ahmad berkata semasa diundang BernamaTV dalam satu rancangan yang bersiaran secara langsung, seorang penonton menuduh beliau sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab kerana terlibat dalam 'Projek IC' dan mendesaknya meletakkan jawatan.

Wan Ahmad berkata kenyataan itu dibuat di khalayak ramai ketika rancangan itu ke udara selepas penerbitan artikel berkenaan.

Kepada soalan tambahan oleh peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, Wan Ahmad berkata selepas penerbitan artikel berkenaan beliau dan keluarga menerima banyak cemuhan, khidmat pesanan ringkas (SMS) serta pertanyaan daripada orang tertentu dan perkara itu benar-benar memalukannya secara peribadi dan merosakkan kredibiliti beliau sebagai Timbalan Pengerusi SPR.

"Sebagai Timbalan Pengerusi SPR, saya banyak menghadiri forum dan seminar di luar negara. Ada beberapa kenalan saya dari Thailand dan Indonesia bertanyakan saya mengenai perkara ini... kesannya begitu berat kepada saya, saya perlu menjaga maruah saya, keluarga dan anak-anak. Oleh itu, saya terpaksa membawa perkara ini ke muka pengadilan," katanya.

Wan Ahmad juga berkata saman itu difail atas kapasiti individu dan beliau mempunyai hak di sisi perundangan untuk mengambil tindakan terhadap defendan.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Mohamed Hanipa Maidin, Wan Ahmad yang dilantik Timbalan Pengerusi SPR sejak 17 Disember 2004, tidak bersetuju kredibiliti beliau sudah dipersoal sebelum penerbitan artikel itu.

Pengarah SPR Sabah Datuk Md Idrus Ismail, 56, dalam penyataan saksi beliau berkata pada masa yang material, Pegawai Pilihan Raya Sabah ialah Wan Ahmad Wan Yusof dan bukannya Wan Ahmad Wan Omar.

"Setahu saya, plaintif tidak pernah berkhidmat di SPR Sabah sepanjang perkhidmatan plaintif," katanya sambil menambah beliau turut mengenali Wan Ahmad Wan Yusof.

Perbicaraan di depan Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong bersambung esok. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:33 PM

Temui Cincin Pada Lobak Selepas 13 Tahun Hilang

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:00 PM

Jantina Belum Tahu Lagi! - Ezzaty Abdullah

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Kolumnis

iklan

Iklan