Kes Amah Lambung Bayi: Mahkamah Ketepi Sabitan Dan Hukuman Penjara 20 Tahun

Diterbitkan: Khamis, 21 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TANGISAN KEGEMBIRAAN…Pembantu rumah Indonesia, Yuliana, 23, menitiskan air mata selepas Mahkamah Tinggi Kuantan pada Rabu membebaskan dan mengenepikan sabitan dan hukuman penjara 20 tahun terhadap beliau selepas mengaku bersalah melambung dan menghempas anak majikannya Februari lepas. -fotoBERNAMA
TANGISAN KEGEMBIRAAN…Pembantu rumah Indonesia, Yuliana, 23, menitiskan air mata selepas Mahkamah Tinggi Kuantan pada Rabu membebaskan dan mengenepikan sabitan dan hukuman penjara 20 tahun terhadap beliau selepas mengaku bersalah melambung dan menghempas anak majikannya Februari lepas. -fotoBERNAMA

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 20 tahun terhadap seorang pembantu rumah Indonesia selepas dia mengaku bersalah melambung dan menghempas anak majikannya, Februari lepas.

Bagaimanapun Hakim Datuk Seri Mariana Yahya yang membenarkan rayuan Yuliana, 23, memerintahkan kes tertuduh didengar semula di Mahkamah Sesyen di sini di hadapan hakim lain pada 6 Januari depan.

Sementara menunggu kesnya itu didengar, Mariana memerintahkan Yuliana dibebaskan dengan bon jaminan Kedutaan Indonesia, diwakili oleh Dino Nur Wahyuddin yang hadir di mahkamah, Rabu.

Yuliana dari Acheh, Indonesia dikenakan hukuman penjara 20 tahun oleh Hakim Mahkamah Sesyen di sini selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mendera bayi berusia empat bulan, 15 Februari lepas.

Pada 12 Mac lepas, Mariana memerintahkan wanita itu ditahan sementara di Hospital Permai, Johor selama tiga bulan bagi menentukan tahap kewarasan tertuduh setelah Yuliana mengemukakan rayuan bagi penangguhan pelaksanaan hukuman menerusi peguamnya, T. Vijayandran.

Mariana dalam keputusannya itu memberi lima alasan mengapa kes itu perlu didengar semula, pertama Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dari segi undang-undang apabila gagal menimbangkan sama ada perayu faham pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

"Kedua, perayu tidak diwakili peguam ketika prosiding mahkamah berjalan dan tertuduh perlu diterangkan akan maksud undang-undang terhadap kesalahan yang dibacakan terhadap tertuduh.

"Ketiga, gagal mengambil kira rayuan yang dikemukakan oleh perayu dan permohonan itu tidak dinyatakan dalam penghakiman sebelum ini.

"Keempat, menjatuhkan hukuman yang terlalu berat iaitu penjara 15 tahun untuk kesalahan yang pertama dan lima tahun penjara bagi pertuduhan yang kedua dan yang kelima, hakim gagal menyatakan niat perbuatan perayu di dalam fakta kes ini," katanya.

Sebelum keputusan itu dibacakan, Yuliana yang hadir ke mahkamah dengan seragam penjara berwarna hijau dan bertudung hitam, dilihat menangis dan apabila ditanya oleh Mariana, tertuduh berkata: "Saya rindu anak saya".

Wajah Yuliana kemudian bertukar ceria dan sempat melemparkan senyuman selepas menyatakan dia faham keputusan yang dibacakan oleh Mariana.

Sementara itu bercakap kepada pemberita, Dino Nur berkata Yuliana akan ditempatkan di tempat perlindungan khas di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur sehingga kesnya didengar semula. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan