Mahkamah Syariah Keluar Waran Tangkap Terhadap 6 Pengikut Tuhan Harun

Diterbitkan: Ahad, 17 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Mahkamah Rendah Syariah di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap enam pengikut kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun selepas mereka gagal hadir ke perbicaraan kes menyimpan dan memiliki dokumen yang bercanggah dengan hukum syarak.

Hakim Syarie Abdul Wahid Md Ali Al-Fakwie membuat keputusan itu selepas mereka gagal hadir buat kali kedua bagi sebutan kes itu pada Jumaat dan 27 Ogos lepas.

Waran tangkap terhadap Husin Ismail, 43; Pius Anahong @ Mahdi Abdullah, 40; Mohd Khalilie Zazali, 31; Syahiszam Soid, 40; Mohd Nizam Mohd Salleh, 43, dan Mohd Shahril Mohd Jaafar, 28, itu dipohon Pejabat Pendakwa Syarie dan berkuat kuasa esok.

Pada 14 Mei lepas, mereka mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Abdul Wahid yang menetapkan 27 Ogos untuk menjatuhkan hukuman bagi membolehkan pendakwaan mendapatkan pengesahan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) berhubung dokumen yang dikatakan bercanggah dengan hukum syarak itu.

Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan masing-masing RM1,000 serta seorang penjamin.

Keenam-enam individu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Lorong Pandan Damai 2/201 di sini pada 6.50 petang 4 April lepas mengikut Seksyen 165 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendali Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang Mohd Fahmi Abd Jalil. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan