Miliki Dadah: Dua Warga Azerbaijan Dipenjara Lapan Tahun, 10 Sebatan

Diterbitkan: Jumaat, 15 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan ke atas dua warga Azerbaijan kerana memiliki dadah methamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dua tahun lepas. Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu selepas pekerja sektor binaan Nabi Yasar Oglu Abdullayeb, 30, dan penyanyi lagu rakyat Niyamaddin Xanlar Oglu Niyamaddin Alakbarov, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang ditawar pihak pendakwaan.

Nurchaya memerintahkan hukuman penjara kedua-dua tertuduh berkuat kuasa dari tarikh mereka ditahan.

Pada asalnya, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, Nabi Yasar didakwa memiliki 558 gram methamphetamine manakala Niyamaddin Xanlar memiliki 490 gram methampetamine, yang dijumpai dalam bagasi mereka di KLIA pada 10.15 malam 27 November 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Datuk N.Sivananthan memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan ke atas kedua-dua tertuduh dan memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap, iaitu pada 27 November 2011.

Beliau berkata pengakuan salah mereka menjimatkan masa dan kos mahkamah serta kedua-dua anak guamnya menghargai pertuduhan pilihan yang ditawar pihak pendakwaan.

Sivananthan juga berkata Nabi Yasar, yang masih bujang, menyesal dengan perbuatan itu dan ini merupakan satu pengajaran buat dirinya yang pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia agar lebih berhati-hati serta tidak terjebak sebagai keldai sindiket dadah.

Beliau berkata Niyamaddin Oglu, yang sudah berkahwin serta mempunyai anak lelaki berusia dua tahun, turut menyesal memandangkan dia tidak akan dapat melihat puteranya itu membesar kerana terpaksa meringkuk dalam penjara.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan wajar ke atas kedua-dua tertuduh kerana mereka tahu akan kesalahan membawa dadah ke negara ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan