Buruh Didakwa Rempuh Anggota Polis

Diterbitkan: Khamis, 14 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang buruh pengumpul sampah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Khamis terhadap pertuduhan merempuh seorang anggota polis trafik yang boleh menyebabkan kematian, dua minggu lepas.

M. Rajakumar, 30, didakwa merempuh anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Koperal Mohd Redzuwan Mostapa, 24, dengan niat hendak melarikan diri daripada pemeriksaan, yang boleh menyebabkan kematian menggunakan kereta jenis Nissan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan 9, Felda Bukit Cherakah, Sungai Buloh pada 1.40 pagi 31 Oktober lepas mengikut Sekyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Disember untuk sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan