Bakal Pengantin Hadapi Empat Tuduhan Rompak & Cabul

Diterbitkan: Selasa, 12 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang bakal melangsungkan perkahwinan akhir bulan ini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Selasa terhadap empat pertuduhan termasuk merompak dan mencabul di dua pusat beli-belah di sini Oktober lepas.

Bagi pertuduhan pertama penjual kereta Mohd Firdaus Safie, 29, didakwa merompak dua keping kad kredit, sekeping lesen memandu dan wang tunai RM150 milik ejen insurans Teh Yee Yin, 30, di tempat letak kereta Suria Kuala Lumpur City Centre di Jalan Ampang pada 2.15 petang, 30 Okt lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa cuba merompak menggunakan sebilah kerambit sehingga mencederakan seorang akauntan wanita berusia 28 tahun manakala bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mencabul mangsa di tempat letak kenderaan di pusat beli-belah Pavilion di sini pada 8.15 malam, pada tarikh sama.

Bagi pertuduhan merompak dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, manakala pertuduhan mencabul, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan. Pertuduhan keempat, dia didakwa menggunakan kerambit mengikut Seksyen 4 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1985 yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aizam Aiza Zamran yang tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan tertuduh serius.

Bagaimanapun, Hakim Azwarnida Affandi membenarkan Mohd Firdaus diikat jamin RM13,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selepas peguam Mohd Faizal Abdul Rahman mengemukakan permohonan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai. Kes itu disebut semula pada 6 Dis ini. -- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan