Pengarah PPUKM, Tiga Lain Diarah Bayar RM400,000 Kerana Langgar Kerahsiaan, Memfitnah

Diterbitkan: Khamis, 31 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Rabu memerintahkan pengarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan tiga yang lain membayar ganti rugi sejumlah RM400,000 kepada seorang pesakit kerana melanggar kerahsiaan dan memfitnah.

Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera mengeluarkan perintah itu selepas mahkamah berpuas hati bahawa plaintif, Mohd Zairi Rasidi Abd Hadi, berjaya membuktikan kesnya terhadap empat defendan itu.

Mohd Zairi, 36, merupakan pesakit di Klinik Psikiatri PPUKM, memfailkan saman itu tahun lepas menamakan pengarah PPUKM; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang menguruskan dan mengendalikan operasi PPUKM; Khairulnizam Nordin dan Zulkefli Mohd Rusly sebagai defendan selepas rekod perubatannya didedahkan kepada pihak ketiga.

Mohd Zairi, yang merupakan ketua komuniti di kawasan kejiranannya dan aktif dalam aktiviti pencegahan jenayah di Kg Muhibbah 2 di Puchong, memfailkan saman melanggar kerahsiaan dan memfitnah.

Vazeer dalam keputusannya memerintahkan pengarah PPUKM dan UKM membayar sejumlah RM200,000 bagi melanggar kerahsiaan manakala dua lagi defendan diarah membayar sejumlah RM200,000 bagi memfitnah.

Beliau juga memerintahkan kesemua defendan membayar sejumlah RM25,000 sebagai kos perundangan kepada plaintif.

Dalam penghakiman ringkasnya, Vazeer berkata apa yang jelas ialah nama baik plaintif telah tercemar berikutan pelanggaran kerahsiaan oleh kedua-dua defendan dan beliau dapat memahami bahaya yang ditimbulkan terhadap plaintif.

Beliau berkata di sisi undang-undang, pengarah PPUKM dan UKM bertanggungjawab untuk memastikan kerahsiaan maklumat perubatan pesakit dilindungi dan tidak disebarkan sewenang-wenangnya.

Vazeer menegaskan profesional perubatan dan hospital perlu menjaga rahsia pesakit dengan serius, jika tidak kepercayaan orang ramai terhadap profesion perubatan dalam menyimpan rahsia maklumat pesakit akan hilang.

"Perlu ada pemeriksaan ketat dalam sistem untuk memastikan pihak tidak bertanggungjawab tidak mempunyai akses kepada sistem itu atau orang yang mempunyai akses kepada sistem itu tidak menyalahgunakannya," katanya.

Katanya satu lagi perkara yang mengusarkan dalam kes ini ialah kegagalan pengarah PPUKM menyiasat aduan plaintif apabila beliau membuat laporan.

Vazeer berkata pengarah dilihat tidak mengambil serius aduan itu untuk mengarahkan siasatan segera dilakukan untuk menyiasat bagaimana dokumen dicetak daripada sistem dan siapa yang bertanggungjawab melakukannya.

"Pelanggaran seumpama itu perlu disiasat segera," katanya.

Beliau berkata plaintif juga telah digelar 'orang gila' oleh penduduk di kejiranannya.

"Saya sendiri dapat merasai kepedihan dan penderitaan emosinya semasa memberikan keterangan di mahkamah. Masyarakat kita masih belum dapat menerima hakikat bahawa seseorang yang berjumpa pakar psikiatri hanya berupa perjumpaan dengan profesional perubatan. Terdapat terlalu banyak prejudis terhadap sesiapa yang mendapatkan rawatan psikiatri," katanya.

Vazeer berkata plaintif dalam keterangannya berkata beliau menghidapi kemurungan teruk dan sebab itu beliau mendapatkan rawatan di PPUKM dan beliau amat kecewa kerana kepercayaan yang diberikan kepada PPUKM untuk merahsiakan rekod perubatannya telah dilanggar oleh dua defendan itu.

Beliau berkata dalam perbicaraan pada 23 April tahun lepas, saksi kedua plaintif berkata beliau nampak dua defendan (Khairulnizam dan Zulkefli) mengedarkan salinan dokumen mengandungi butiran peribadi dan rekod perubatan rawatan plaintif di PPUKM kepada penduduk Kg Muhibbah dan plaintif sendiri turut menerima salinan dokumen itu.

Vazeer berkata ini jelas menunjukkan cubaan mereka (Khairulnizam dan Zulkefli) untuk mencemarkan nama baik plaintif.

Beliau berkata dokumen itu merupakan cetakan komputer dengan tajuk "Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Maklumat Pesakit" dan mengandungi maklumat mengenai tarikh temujanji plaintif di Klinik Psikiatri serta jenis ubat yang diberi kepadanya. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan