Kes Alvin & Vivian: Peguam Dakwa Maksud 'Bak Kut Teh' Tidak Hina Islam

Diterbitkan: Khamis, 31 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Gambar fail Alvin Tan (kanan) dan Vivian Lee
Gambar fail Alvin Tan (kanan) dan Vivian Lee

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menetapkan 14 November depan untuk keputusan kes berhubung pembatalan pertuduhan yang dihadapi pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee yang didakwa mempersenda umat Islam dan Ramadan.

Hakim Kamardin Hashim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Chong Joo Tian yang mewakili pasangan itu dan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Pada 21 Ogos lepas, Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, selaku pemohon, memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapi mereka mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan.

Mereka memohon perintah deklarasi bahawa Seksyen 298A Kanun Keseksaan tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak boleh dikuatkuasakan terhadap mereka, dengan alasan sekiranya pertuduhan itu sah di sisi undang-undang, ia hanya terpakai terhadap orang Islam.

Mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, Tan dan Lee didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan gambar dan komen yang bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh... wangi, enak, menyelerakan !!!)' yang mengandungi logo halal, berkemungkinan menyebabkan perasaan permusuhan atas alasan agama dalam kalangan penganut agama berlainan.

Terdahulu, Chong dalam hujahannya berkata dakwaan pihak pendakwaan ucapan dan perkataan di laman Facebook itu merupakan suatu perbuatan yang menghina Islam adalah tidak logik dan tidak berasas.

"Dakwaan sebegini hanya menunjukkan dengan jelas sikap dan pemikiran prejudis terhadap kaum lain di Malaysia, tidak berpengetahuan dan tidak yakin tentang agama sendiri serta suatu reaksi emosional yang tidak berasaskan kepada fakta," katanya.

Chong berhujah 'bak kut teh' bermaksud 'daging tulang teh' atau 'meat bone tea' dan penggunaan perkataan atau istilah itu tidak mendatangkan sebarang penghinaan kepada agama Islam.

Hujahnya, Seksyen 298A Kanun Keseksaan merupakan peruntukan undang-undang untuk mengawal, mengurus dan memastikan kelancaran pengamalan agama Islam bagi mengelak sebarang perbalahan dan permusuhan dalam kalangan orang beragama Islam, dan seksyen itu bukan satu perundangan untuk mengawal ketenteraman awam.

Sementara itu, Wan Shaharuddin dalam hujahannya berkata perbuatan pemohon yang menjemput umat Islam menikmati 'bak kut teh' ketika berbuka puasa dalam bulan Ramadan merupakan penghinaan dan menimbulkan perasaan benci, kemarahan dan perpecahan antara kaum Melayu dan Cina serta menggugat keharmonian masyarakat majmuk dan ketenteraman awam.

Beliau berhujah alasan pihak pemohon agar pertuduhan Seksyen 298A Kanun Keseksaan dibatalkan kerana mereka bukan Islam dan seksyen itu hanya terpakai secara eksklusif kepada orang beragama Islam, adalah tidak berasas.

Ini kerana ia telah diputuskan Parlimen ketika persidangan penggal pertama pada 10 Dis 1982 untuk menolak usul supaya seksyen itu dihadkan kepada orang beragama Islam sahaja.

Selain menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Tan dan Lee didakwa bersama-sama menerbitkan satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian-Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang sama, mengikut Akta Hasutan 1948.

Mereka juga didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ antara 6 Julai dan 7 Julai lepas, antara 9 malam dan 2 pagi, mengikut Akta Penapisan Filem 2002. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan