Rasuah: Bekas KP Imigresen Dipenjara Enam Tahun, Denda RM300,000

Diterbitkan: Rabu, 30 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Wahid Md Don
Wahid Md Don

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don pada Rabu dihukum penjara enam tahun dan didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menerima rasuah RM60,000 berhubung kelulusan permohonan visa pekerja Bangladesh.

Hakim Rosbiahanin Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap Wahid, 59, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Rosbiahanin memerintahkan Wahid yang kelihatan tenang itu menjalani hukuman penjara mulai hari ini dan turut memerintahkan dia dipenjara 12 bulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Wahid yang ditemani isterinya di mahkamah, kemudiannya dibawa ke Penjara Kajang selepas hakim itu menolak permohonannya yang diwakili peguam Datuk V. Sithambaran untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan.

Mahkamah juga menolak permohonan Sithambaran supaya anak guamnya dibenarkan diikat jamin sementara menunggu rayuan.

Peguam itu kemudiannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Tinggi hari ini berhubung keputusan Mahkamah Sesyen itu yang menolak permohonan ikat jaminnya.

Sebelum ini, Wahid dibenarkan diikat jamin sebanyak RM50,000 sementara perbicaraan kesnya selesai.

Dalam penghakimannya, Rosbiahanin berkata mahkamah bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa keterangan pembelaan Wahid adalah difikirkan kemudian dan bersifat rekaan dan penafian semata-mata.

"Selepas meneliti keterangan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan terhadap pertuduhan itu," katanya.

Terdahulu dalam rayuan, Sithambaran berkata mahkamah perlu mengambil kira bahawa ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya selain wang pencennya akan terjejas serta keadaan dua anaknya sedang belajar.

Ketua bahagian pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa, berhujah bahawa tertuduh sepatutnya berfikir mengenai anak-anaknya dan keluarga sebelum melakukan kesalahan itu.

Wahid didakwa menerima rasuah itu daripada seorang ahli perniagaan Datuk Seri Low Chang Hian sebagai upah mempercepat kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh untuk memasuki negara ini.

Wahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Off Jalan Duta pada 10 Julai 2008.

Pada 15 Oktober 2010, Rosbiahanin melepas dan membebaskan Wahid tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan rasuah itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dan pada 31 Mei 2012, Hakim Mahkamah Tinggi turut mengekalkan pembebasan itu.

Bagaimanapun, pada 2 April lalu, Wahid diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Rayuan terhadap pertuduhan berkenaan selepas membenarkan rayuan SPRM sebelum dia mula memberi keterangan di Mahkamah Sesyen pada 15 Julai lepas. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan