Pasangan Suami Isteri Berdepan 81 Pertuduhan Di Bawah AMLA - Berita Mahkamah | mStar

Pasangan Suami Isteri Berdepan 81 Pertuduhan Di Bawah AMLA

Diterbitkan: Rabu, 30 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Sepasang suami isteri, yang merupakan pengarah beberapa syarikat, berdepan 81 pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram bernilai lebih RM15 juta dalam bentuk wang tunai, cek dan jongkong emas bagi tempoh satu setengah tahun.

Kow Hock Beng, 55, dan Veronica Tan, 51, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan di depan Hakim Mahkamah Sesyen Khairul Anuar Abdul Halim, Rabu.

Khairul Anuar membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 November untuk pengurusan kes.

Beliau juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kesemua kes ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

Kow berdepan 44 pertuduhan menerima sejumlah RM7.9 juta manakala Tan berdepan 37 pertuduhan menerima RM7.8 juta ketika menjadi konsultan Genneva Malaysia Sdn Bhd bagi wilayah utara.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu selepas menerima cek daripada Genneva Malaysia Sdn Bhd yang dideposit ke dalam akaun peribadi masing-masing antara Mac 2011 dan September 2012.

Tan juga didakwa terbabit dengan pengubahan wang haram menerusi pemilikan 54 jongkong emas yang ditemui dalam peti keselamatannya di bank pada 31 Disember 2012.

Kow pula berdepan 41 pertuduhan pengubahan wang haram bagi pihak J Emerald Sdn Bhd, Agensi Pekerjaan AJ Utama Sdn Bhd, KHB Global Sdn Bhd, Parcel Post (M) Sdn Bhd, Logistics Hartamas (M) Sdn Bhd dan CFM Logistics Sdn Bhd, yang mana beliau adalah pengarah.

Pasangan itu didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) dibaca bersama Subseksyen 87(1)(a) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Pang Shuin Keat manakala pasangan itu diwakili peguam Ong Yu shin dan B.Jeyasingam. - BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Isnin, 11 Jun 2018 8:00 AM

Ramadan anak Chow Kit

Kolumnis

iklan

Iklan