Dua Lelaki Iran Dipenjara Sembilan Tahun, 13 Sebatan Miliki Dadah

Diterbitkan: Selasa, 22 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dua lelaki warganegara Iran masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini Isnin selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan memiliki dadah jenis Methamphetamine yang disembunyikan di dalam perut mereka, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memerintahkan tertuduh, Hamed Alm Khan Ali Bakhsh, 23, yang bekerja sendiri dan Hossein Goharian Lotf Jafar, 25, ejen hartanah, menjalani hukuman berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 5 Januari 2011.

Ahmadi menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira bahawa kesalahan dadah merupakan kesalahan yang serius dan mengambil kira kes membabitkan warga Iran membawa masuk dadah ke negara ini dengan menyembunyikannya di dalam perut kerap berlaku.

Hamed didakwa memiliki 46 kapsul berisi dadah jenis Methamphetamine seberat 188.9 gram di tandas wad 6C, Bilik No:28, Hospital Serdang dekat sini, antara pukul 10.27 malam, 5 Januari 2011 dan 11.05 malam 6 Januari 2011.

Hossein pula didakwa memiliki 53 kapsul berisi dadah jenis Methamphetamine seberat 166.7 gram di tempat sama antara 9.53 malam, 5 Januari 2011 sehingga 10.58 malam, 6 Januari 2011.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A (2) Akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan.

Mengikut fakta kes, Hamed dan Hossein ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang, pada pukul 9 pagi, 5 Januari 2011 bersama tiga lagi warga Iran yang kemudiannya dibebaskan.

Hasil siasatan ke atas kedua-dua tertuduh tidak menemukan sebarang barang salah. Hamed dan Hossein kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk membuat imbasan sinar-x dan hasilnya terdapat imej yang mencurigakan di dalam badan mereka.

Kedua-dua tertuduh seterusnya ditahan di wad untuk mengeluarkan dadah berkenaan dan beberapa anggota polis menyaksikan Hamed dan Hossein mengeluarkan kapsul berisi dadah melalui dubur masing-masing.

Kedua-dua tertuduh sebelum ini menghadapi pertuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B 1(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam V.Samynathan yang mewakili Hamed dan Hossein memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan mereka telah menyesal dan meminta diberi peluang untuk membina kehidupan baharu selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Beliau berkata kedua-dua tertuduh juga merupakan pesalah pertama dan masih muda ketika melakukan kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin yang mengendalikan pendakwaan pula meminta mahkamah mengambil kira bahawa kekerapan kes membabitkan warga asing yang membawa masuk dadah ke negara ini menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang Malaysia.

"Hukuman berat perlu dijatuhkan sebagai isyarat jelas kepada masyarakat luar supaya menghormati kedaulatan undang-undang negara ini dan kita tidak memberi muka kepada mereka yang melakukan kesalahan dadah. Cara mereka membawa masuk dadah ke Malaysia juga menunjukkan mereka cuba memperlekeh undang-undang negara ini," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan