Operator Pengeluaran Didakwa Sebabkan Kecederaan Parah Penuntut IPTA

Diterbitkan: Rabu, 16 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang operator pengeluaran kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi awam pada September tahun lepas.

Fuza Syakirin M.Fuad, 24, dari Seksyen 25 di sini, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Said.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas Ain Safezah Md Saref, 22, apabila kemarahannya dibangkitkan oleh penuntut jurusan syariah itu di Jalan Riang Satu 25/117, Taman Sri Muda, Seksyen 25, kira-kira 5.45 petang pada 8 September tahun lepas.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Bariyyah Mohamed yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin.

Peguam Aida Mansor yang mewakili Fuza Syakirin bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan anak guamnya baru bekerja selain mendakwa tertuduh bertindak sedemikian untuk mempertahankan keluarganya.

Majistret, Farah Azura kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,500 serta seorang penjamin dan menetapkan 14 November ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan