Dua Individu Bebas Tuduhan Minta & Terima Rasuah

Diterbitkan: Jumaat, 11 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Dua individu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan meminta dan menerima rasuah selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman setahun penjara serta denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini dua tahun lepas.

Hakim Datuk Ghazali Cha membebaskan Azman Annhar, 47, dan Latifah Mahfodz, 48, kedua-duanya bekerja sendiri, daripada kedua-dua pertuduhan itu selepas mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Hakim Mat Ghani Abdullah pada 10 Oktober 2011.

Ketika membuat keputusan itu, Ghazali berkata adalah tidak dipertikaikan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed disebut beberapa saksi semasa perbicaraan dan justeru, pihak pendakwaan seharusnya memanggilnya untuk memberi keterangan.

"Kegagalan pihak pendakwaan memanggil Abu Kassim untuk memberi keterangan merupakan satu kelemahan terhadap kes pendakwaan. Sehubungan itu, saya benarkan rayuan dan membebaskan kedua-dua perayu daripada sabitan serta hukuman," katanya.

Bagi tuduhan pertama, Azman dan Latifah didakwa meminta suapan RM10,000 daripada Adnan Abd Mokhtar, 44, sebagai dorongan kononnya untuk diberi kepada penguat kuasa Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat dan SPRM, supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap Adnan yang akan menjalankan aktiviti pengeluaran pasir secara tidak sah di atas tanah kerajaan Bukit Enggang, Hulu Langat.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Thoiba di Jalan 2, Batu 9, Cheras dekat sini, pada 10 malam, 14 Januari 2010.

Bagi pertuduhan itu, Azman dan Latifah masing-masing dijatuhkan hukuman penjara setahun dengan denda RM50,000 atau dipenjara lima bulan, jika gagal membayar denda.

Mereka juga didakwa menerima suapan RM10,000 daripada Nur Aida Arifin, 27, sebagai dorongan untuk melakukan perkara yang sama di Starbucks Coffee di G31, Aeon Cheras Selatan Shopping Center, Hulu Langat, pukul 5.25 petang pada 18 Januari 2010.

Untuk pertuduhan kedua itu, Mat Ghani menjatuhkan masing-masing hukuman penjara setahun dengan denda RM50,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Mat Ghani memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak daripada tarikh jatuh hukum dan jika mereka gagal membayar denda masing-masing, boleh dipenjarakan selama 10 bulan.

Azman dan Latifah masing-masing diwakili peguam Rusli Zain dan Feisal Mustafa sementara Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Roziza Sidek hadir bagi pihak responden. -BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan