Tiga Ahli KWSP Didenda RM3,900 Atas Kesalahan Menipu Pengeluaran

Diterbitkan: Khamis, 10 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiga ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didenda atas kesalahan menipu pengeluaran perumahan pada suku tahun ketiga 2013 (S3 2013).

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata ketiga-tiga ahli itu disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 59 Akta KWSP 1991 dan didenda sebanyak RM3,900.

"Ketiga-tiga ahli itu telah memalsukan dokumen sewaktu melakukan pengeluaran perumahan daripada akaun KWSP mereka. KWSP memandang serius kesalahan penipuan pengeluaran. Ahli KWSP seharusnya sedar kesan daripada tindakan sedemikian yang juga menyusahkan mereka kelak," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Nik Affendi berkata ahli pertama dari Kajang, Selangor didenda RM2,000 atau penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda manakala kedua-dua ahli berikutnya berasal dari Kuala Lumpur masing-masing didenda RM900 dan RM1,000.

Di bawah Akta KWSP 1991, mana-mana ahli yang didapati bersalah menipu pengeluaran akan berhadapan dengan penjara sehingga tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, Nik Affendi mengingatkan ahli KWSP bahawa cubaan untuk mengaburi mata KWSP tidak akan berkesan kerana KWSP dilengkapi sistem yang boleh mengesan dan mengenal pasti ahli yang cuba mengeluarkan wang dengan cara yang salah.

"Mana-mana ahli yang telah mengembalikan wang yang telah dikeluarkan itu dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan akan hanya dibenarkan memohon untuk membuat pengeluaran yang sama dua tahun selepas wang tersebut dikembalikan," katanya.

Beliau berkata ahli yang gagal memulangkan amaun yang dikeluarkan selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan akan hilang hak untuk membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya. "Ahli KWSP yang ingin mengeluarkan wang mereka, dengan syarat mereka telah memenuhi kelayakan yang ditetapkan, dinasihat untuk berurusan terus di mana-mana cawangan KWSP," katanya.

Kepada sesiapa yang ingin melaporkan sebarang kegiatan atau percubaan menipu boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian Hotline Anti-Fraud KWSP di talian 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan