38 Pemandu Bas Dikenakan Notis Amaran Gagal Bayar Saman

Diterbitkan: Selasa, 8 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Sebanyak 38 pemandu bas yang memiliki waran tangkap dan saman atas pelbagai kesalahan jalan raya diberi notis amaran ketika pemeriksaan dalam Ops Warta di Terminal Bas Sungai Nibong, di sini awal pagi Selasa.

Pegawai Penguatkuasa Operasi Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang ASP Ahmad Ezzely Razali berkata mereka merupakan sebahagian daripada 82 pemandu bas yang diperiksa di terminal berkenaan sejak pukul 3 petang semalam hingga 1 pagi ini.

Beliau berkata pemandu bas ekspres berusia 25 hingga 55 tahun itu dikenakan notis amaran kerana memiliki saman atau waran tangkap. "Kami keluarkan notis amaran itu bagi memastikan pemandu bas yang memiliki saman dan waran tangkap supaya membayar denda mereka dan jika masih gagal polis tidak t teragak-agak untuk menahan mereka.

"Pemeriksaan bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu juga bagi memastikan bas yang digunakan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk penumpang," katanya kepada pemberita di sini.

Ahmad Ezzely berkata Ops Warta yang bermula semalam itu akan diteruskan selama dua minggu di beberapa lokasi penting di sekitar negeri ini.

"Ops Warta ini lebih tertumpu kepada pesalah-pesalah yang ada saman trafik yang belum dijelaskan dan waran tangkap.

"Kami harap pemandu tak pandang remeh perkara ini, apabila waran tangkap telah dikeluarkan oleh mahkamah, maka mereka kena akurlah dengan keputusan mahkamah," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan