Lelaki Vietnam Dipenjara 12 Tahun Sebabkan Kematian Dua Rakan Senegara

Diterbitkan: Khamis, 3 Oktober 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pekerja Kilang Nguyen Viet Tan dibawa keluar oleh anggota polis selepas mahkamah menjatuhkan hukuman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Rabu. -fotoBERNAMA
Pekerja Kilang Nguyen Viet Tan dibawa keluar oleh anggota polis selepas mahkamah menjatuhkan hukuman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Rabu. -fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Seorang warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah menikam mati dua rakan senegaranya berhubung isu memadam lampu bilik.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memerintahkan pekerja kilang Nguyen Viet Tan, 38, menjalani hukuman berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 13 Julai 2011.

Lelaki itu mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan menyebabkan kematian tanpa niat ke atas Le Hong Quan, 25, dan Nguyen Duy Trinh, 38, di rumah kedai dua tingkat, No 19, Jalan Orkid 1B, Bukit Sentosa, Rawang, pukul 1 pagi pada 13 Julai 2011.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Viet Tan sebelum ini menghadapi dua pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian Duy Trinh meminta tertuduh memadamkan lampu tetapi tertuduh enggan berbuat demikian dan Duy Trinh kemudian bangun dan menutup sendiri lampu sebelum berlaku pergaduhan di antara mereka.

Tertuduh kemudian pergi ke dapur dan mengambil pisau lalu menikam Le Hong yang cuba menahan tertuduh daripada menyerang Duy Trinh sebelum tertuduh kemudian bertindak menikam Duy Trinh yang menyebabkan kematian kedua-dua mangsa.

Terdahulu, peguam V.Samynathan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan terhadap anak guamnya atas alasan kejadian berlaku disebabkan tertuduh ingin mempertahankan diri daripada dipukul kedua-dua mangsa.

"Kejadian ini berlaku disebabkan provokasi secara tiba-tiba yang mana kedua-dua mangsa menyerang tertuduh terlebih dahulu dan ketika kejadian itu mangsa dan tertuduh berada di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Fazillah Begum Abdul Ghani yang mengendalikan pendakwaan berkata kemarahan tertuduh yang melampau dan gagal dikawal telah menyebabkan dua nyawa iaitu rakan serumah dan sekerjanya melayang. "Ketika kejadian tertuduh hanya alami cedera ringan dan alasan berada bawah pengaruh alkohol bukan alasan pembelaan. Walaupun kedua-dua mangsa telah serang tertuduh tetapi mereka serang tanpa senjata kerana tidak ada senjata lain dijumpai di tempat kejadian," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan