Pukul, Ugut Bekas Teman Wanita, Pemandu Bas Dipenjara Enam Hari

Diterbitkan: Khamis, 12 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gara-gara memukul dan mengugut bekas teman wanita, seorang pemandu bas dijatuhi hukuman penjara enam hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis.

Majistret Zuraini Abdul Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap G.Kumar, 34, selepas dia mengaku bersalah dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada Sabtu lepas, dan jika gagal membayar denda boleh dipenjara sebulan. Kumar membayar denda itu.

Tertuduh yang berasal dari Sungai Siput, Perak didakwa memukul S.Nesamalar, 29, dengan tangannya di sebuah rumah di Laman Rimbunan Pangsapuri Seroja, Kepong di sini pada 9 pagi 17 Julai lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Kumar juga didakwa mengugut Nesamalar dengan mengatakan "Saya datang sini memang planning nak tengok darah you" dengan niat menyebabkan kematiannya di tempat dan pada masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah pergi ke rumah mangsa, lalu bertindak kasar dengan menarik tangan mangsa sehingga dia mengalami kecederaan dan mengugutnya.

Ketika kejadian, teman lelaki mangsa turut berada di dalam rumah tersebut bertindak menghubungi polis.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam dan kecederaan yang dialami mangsa.

Peguam Rohani Ibrahim yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga.

"Tertuduh juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan