Boustead Tarik Balik Saman Selepas Ahli Parlimen Bayan Baru Mohon Maaf Secara Terbuka

Diterbitkan: Khamis, 12 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Boustead Holdings Berhad menarik balik saman fitnahnya terhadap Anggota Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin selepas Sim hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi berhubung kenyataannya mengenai projek tebus guna tanah oleh syarikat itu.

"Plaintif (Boustead) bersetuju menerima penyelesaian penuh dan muktamad penarikan balik kenyataan dan permohonan maaf oleh defendan (Sim)," kata peguam yang mewakil Boustead, Fahri Azzat.

Beliau berkata Boustead dan Sim bersetuju untuk menyelesaikan masalah itu secara baik. Boustead turut diwakili peguam Izzat Othman manakala Sim diwakili peguam Ranjit Singh.

Membacakan permohonan maaf itu di hadapan Hakim Datuk Varghese George Varughese, Sim berkata semua kenyataan yang dibuat terhadap syarikat korporat berkenaan adalah tidak tepat.

"Dengan itu, saya tanpa bersyarat ingin menarik balik semua kenyataan saya dan saya memohon maaf kepada Boustead bagi sebarang salah tafsir yang timbul daripada komen saya itu," katanya.

Sim juga mengakui bahawa kenyataan yang dibuatnya pada ketika beliau menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerejak merupakan pandangan peribadinya.

Varghese memuji tindakan kedua-dua pihak yang berjaya menyelesaikan masalah tersebut dengan baik.

Pada 7 Oktober 2011, Boustead memfailkan saman fitnah terhadap Sim memohon ganti rugi RM1 juta dan kos berhubung kenyataan Sim yang dibuat pada 2 Oktober tahun sama yang didakwa memfitnah syarikat itu.

Syarikat itu juga memohon defendan supaya membuat permohonan maaf serta menarik balik kenyataan secara terbuka dalam semua akhbar tempatan dan memberi akujanji secara bertulis supaya tidak mengulangi kenyataan itu sama ada secara lisan atau bertulis kepada umum.

Plaintif juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Syarikat itu dalam pernyataan tuntutannya, mendakwa Sim pada 2 Oktober 2011 telah membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap Boustead bahawa ia sebuah gergasi korporat yang berkait rapat dengan Umno, mendahulukan keuntungan daripada kepentingan rakyat awam di Malaysia' dan telah memaksa kerajaan negeri Pulau Pinang membayar pampasan dalam bentuk tanah-tanah yang luas untuk menampung kerugian plaintif.

Syarikat itu mendakwa kenyataan Sim itu telah mengakibatkan kerugian seterusnya menjejaskan maruah serta nama baik Boustead dalam bidang perniagaan.

Selain itu, kenyataan berunsur fitnah itu juga menggambarkan plaintif sebagai sebuah syarikat konglomerat yang tidak peka tentang tanggungjawab korporat kepada masyarakat dan tidak prihatin terhadap kepentingan rakyat Malaysia khususnya di Pulau Pinang.

Integriti Boustead juga telah dipersoalkan melalui kenyataan Sim yang menggambarkan seolah-olah usaha syarikat gergasi itu dalam perniagaan adalah atas dasar hubungan baik dengan Umno. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan