Saman Penduduk TTDI Terhadap MRT Corp Didengar 7 Oktober

Diterbitkan: Rabu, 11 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Saman yang difailkan 12 penduduk Taman Tun Dr Ismail terhadap Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bagi pampasan berhubung projek yang terletak bertentangan dengan hartanah mereka akan didengar pada 7 Oktober.

Hakim Rosilah Yop menetapkan tarikh itu dalam kamarnya hari ini manakala peguam penduduk berkenaan Shaharudin Ali dan peguam bela MRT Corp David Mathew turut hadir.

Ho Lee Yoke, 55, dan 11 yang lain memfailkan tuntutan mahkamah pada Feb tahun ini dan dalam pernyataan tuntutan, para penduduk terbabit, yang memiliki rumah teres di sepanjang Jalan Pinggir Zaaba, berkata MRT Corp bertanggungjawab memastikan projek yang hendak dilaksanakan itu mengikut undang-undang dan selamat.

Penduduk berkenaan berkata mereka menerima notis mengenai perkara itu pada Februari 2011 yang menunjukan bahawa tanah mereka, antara lain, mungkin akan diambilalih bagi projek MRT Lembah Klang Jajaran Sungai Buloh-Kajang.

Mereka bersetuju untuk menjual hartanah itu kepada defendan selepas beberapa siri pertemuan antara kedua belah pihak tetapi kemudiannya menerima sepucuk surat bertarikh 12 Julai tahun lepas daripada MRT Corp menyatakan bahawa hartanah mereka mungkin tidak akan diambil.

Antara lain penduduk berkenaan menuntut satu pengisytiharan bahawa projek itu adalah haram dan menyalahi undang-undang dan dengan itu mereka layak mendapat pampasan.

Sebagai alternatif, mereka menuntut ganti rugi am dan saksama dan juga ganti rugi khas RM22,000. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan