Bekas Kerani Firma Guaman Didakwa Pecah Amanah Hampir RM100,000

Diterbitkan: Rabu, 11 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang bekas kerani wanita sebuah firma guaman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Rabu atas 12 pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang bayaran guaman milik bekas majikannya berjumlah RM97,575, empat tahun lepas.

Maliza Safei, 32, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim M. Bakri Abd Majid.

Sebagai kerani di firma guaman Tetuan Abu Bakar & Yong yang diamanahkan penguasaan ke atas wang bayaran guaman pelanggan firma guaman itu, dia didakwa melakukan pecah amanah menerusi 12 transaksi berasingan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis firma guaman tersebut di No.19-A, Jalan Perdana 4/3, Pandan Perdana, Ampang, Selangor antara 11 pagi, 19 Mac 2009 dan 9.30 pagi, 21 Julai 2009.

Jika sabit kesalahan, Maliza yang didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan sebatan dan denda.

Terdahulu, wanita itu yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang rendah atas alasan dia perlu menanggung dua anak yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Saya mohon jaminan rendah kerana saya tiada apa-apa lagi. Saya telah gadaikan rumah saya untuk membayar kembali wang yang diambil kepada majikan saya," katanya.

M. Bakri berkata, walaupun tertuduh mendakwa telah memulangkan wang itu kepada majikannya, ia tidak bermaksud kesalahan pecah amanah tidak berlaku.

Beliau kemudian membenarkan Maliza diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Bariyyah Mohamed. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan