JPN Nafi Beri Kad Pengenalan Di Bawah 'Projek Mahathir'

Diterbitkan: Selasa, 10 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang asing di negeri itu di bawah projek dipanggil 'Projek Mahathir'.

Ketua pengarah JPN, Datuk Jariah Mohd Said memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah bahawa dakwaan yang terkandung dalam sebuah buku ditulis oleh MD Mutalib itu adalah tidak benar.

"Kenyataan itu adalah tidak benar, tiada kad pengenalan dikeluarkan di bawah 'Projek Mahathir', kata saksi ke-208 itu ketika menjawab soalan pegawai pengendali Manoj Kurup.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka memberi keterangannya esok.

Ketika ditanya sama ada beliau mengetahui mengenai 'Projek IC', Jariah yang dilantik sebagai ketua pengarah JPN pada Jun 2011 berkata "saya ada dengar tapi saya tidak tahu kebenaran mengenainya".

Jariah memberitahu suruhanjaya bahawa mengikut statistik JPN sehingga 31 Ogos tahun ini, sebanyak 68,703 pendatang asing yang sah di negeri itu diberi taraf kewarganegaraan dan sejumlah 67,675 daripada jumlah itu telah menukar kad pengenalan biru mereka.

Dirujuk kandungan buku itu bahawa terdapat sejumlah 750,000 daripada 1.75 juta warga asing di negeri itu memegang kad pengenalan palsu, Jariah berkata JP Ntidak mengeluarkan kad pengenalan palsu kepada pendatang asing.

Jariah juga berkata permohonan kad pengenalan mestilah mengikut Perlembagaan Persekutuan dan sekiranya mendapati pemohon memalsukan keterangan diri mereka, JPN akan menyiasat perkara itu dan akan mengambil tindakan kepada pihak yang terlibat dalam pengeluaran kad pengenalan yang tidak mengikut undang-undang.

"Baru-baru ini ada satu tangkapan oleh polis di Sabah, polis telah buka fail terhadap pegawai JPN dan tindakan setakat ini diambil di mana pegawai itu telah ditahan kerja," katanya.

Beliau juga berkata penggunaan sijil akuan bersumpah untuk menggantikan sijil lahir bagi permohonan kad pengenalan di Sabah adalah sah tetapi penggunaan sijil itu telah dimansuhkan pada 1987.

Mengenai keterangan saksi pendatang asing dalam suruhanjaya sebelum ini bahawa mereka telah memalsukan tempat kelahiran dengan menyatakan mereka lahir di Sabah bagi permohonan kad pengenalan, Jariah mencadangkan supaya mereka ini tampil ke JPN bagi mengaku maklumat yang diberikan terdahulu adalah tidak betul.

"Itu adalah pendapat saya. Pada pandangan saya maklumat dalam rekod JP Nperlu dibetulkan kerana ia dokumen kerajaan, mereka mesti datang, seharusnya mereka bertanggungjawab atas apa yang mereka tulis," kata Jariah.

Jariah menegaskan sekiranya mereka yang terlibat ini tidak hadir untuk membetulkan maklumat tempat lahir mereka dalam masa setahun atau dua tahun taraf kewarganegaraan mereka boleh ditarik balik dan kad pengenalan mereka boleh dibatalkan.

"Ini pandangan saya, kalau mereka tidak tampil dalam tempoh itu saya sarankan JPN perlu ada 'task force' untuk mencari mereka, tarik balik kewarganegaraan dan batalkan kad pengenalan," katanya lagi.

Semasa ditanya mengenai kes pegawai atasan dan kakitangan JPN yang terlibat dalam pengeluaran kad pengenalan secara tidak teratur kepada warga asing, Jariah memberi jaminan bahawa perkara itu tidak akan berulang lagi.

"Perkara ini tidak boleh berlaku lagi kerana untuk kelulusan taraf warganegara, ia telah dibuat secara berpusat di ibu pejabat, dan ada jawatankuasa yang memantaunya dan prosedur pengeluaran juga telah diseragamkan sejak 1990," katanya.

Jariah juga berkata dari tempoh 1979 hingga 1984 sebanyak 51,300 kad pengenalan bermasalah dikenal pasti dikeluarkan di negeri itu manakala dari 1984 hingga 1988 pula 62,550 kad.

"Pada 1990 hingga 1996 pula sebanyak 16,699 kad pengenalan telah dibatalkan kerana bermasalah. Sebanyak 113,850 permohonan diterima Panel Jawatankuasa Khas Kad Pengenalan di Sabah, daripada jumlah itu 8,887 permohonan untuk menukar kad pengenalan kepada Mykad dan 3,695 telah diluluskan," katanya.

Jariah berkata Panel Jawatankuasa Khas itu ditubuhkan pada 1998 bagi menangani kes kad pengenalan bermasalah di negeri itu seperti mempunyai nombor kad yang bertindih iaitu satu nombor tetapi mempunyai lebih daripada dua pemilik, gambar dan nama berbeza dengan pemilik selain permohonan menggantikan kad pengenalan yang tidak direkodkan di JPN.

Beliau menjelaskan keputusan menubuhkan Panel Jawatankuasa Khas itu adalah daripada Kementerian Dalam Negeri dan menterinya pada ketika itu ialah Dr Mahathir.

Jariah berkata bagi kes pertindihan kad pengenalan terdapat 639 nombor serupa dengan bilangan pemegang kad sebanyak 1,177.

Ketika ditanya mengapa pertindihan ini berlaku beliau berkata ini kerana pada masa itu JPN mengeluarkan kad pengenalan secara manual dan agak sukar untuk disemak tetapi sekarang perkara itu tidak berlaku lagi kerana jabatan itu menggunakan sistem berkomputer sejak 2001.

Pendengaran di hadapan panel lima anggota suruhanjaya itu yang dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong bersambung esok. BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan