Peniaga Didakwa Jalankan Perniagaan Perkhidmatan Wang Tanpa Lesen

Diterbitkan: Jumaat, 6 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Seorang peniaga pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menjalankan perniagaan perkhidmatan wang atau pengurupan wang tanpa lesen, November tahun lepas.

Sharbudeen E A Abdul Gaffor, 55, didakwa melakukan kesalahan itu sebagai majikan kepada pekerjanya rakyat India, Mohamed Sadiq Mohamed yang melakukan kesalahan menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen di kedai milik Sharbudeen di Jalan Dhoby di sini, 8 November tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Akta 731) yang membawa hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Nu'aman Mahmud Zuhudi membenarkan Sharbudeen diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Beliau turut menetapkan 24 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nabila Huda Zaidisham dan Mohd Shukri Ahmad Mansor manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Fairoz Elyas Majeed. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan