Ada Pindaan Dalam Pelan Asal Bangunan Menara Umno - Saksi

Diterbitkan: Khamis, 5 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Mahkamah Koroner pada Rabu diberitahu terdapat pindaan dalam pelan asal bangunan Menara Umno di Jalan Macalister, di sini membabitkan bahagian atas bangunan berkenaan.

Pengarah Jabatan Bangunan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Yew Tung Seang berkata terdapat pindaan pada bahagian dinding yang dibina untuk menyokong dinding sayap di atas bangunan berkenaan.

"Pelan asal yang diluluskan pada 30 Julai 1997 menunjukkan struktur di atas paras bumbung yang terdiri daripada dinding sayap untuk menyokong penebat kilat. Ada cadangan tiub keluli berbentuk tiga segi (digunakan) untuk menyokong dinding sayap yang dipasang dengan ketinggian 27 meter dari tingkat 21.

"Bagaimanapun, pindaan pelan yang diluluskan pada 23 Julai 1998 menukarkan tiub keluli berbentuk tiga segi kepada RC (konkrit bertetulang) alang...lima meter dan sembilan meter tinggi dari aras 21," kata saksi keenam prosiding inkues di hadapan Koroner Khairul Anuar Abdul Halim, di sini.

Inkues berkenaan diadakan bagi mengesahkan kematian seorang penjual nasi, Lim Chin Aik, 44, yang dipercayai tertimbus di dalam kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister.

Inkues itu juga bagi membolehkan Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan sijil kematian dan memudahkan urusan tuntutan insurans oleh keluarga mangsa.

Dalam kejadian ribut 13 Jun lepas, Lim dikhuatiri tertimbus di dalam tanah setelah pasukan mencari dan menyelamat menemui beberapa cebisan kereta Honda City berwarna kelabu yang terbenam di kawasan runtuhan itu dua hari selepas kejadian.

Ketika ditanya sama ada beliau ada membuat pemeriksaan di bahagian yang runtuh, Yew berkata beliau ada melawat tempat kejadian dan mendapati keseluruhan dinding sayap berkenaan telah patah di tingkat 21 dan jatuh ke bawah.

Yew juga berkata konkrit bertetulang alang berkenaan, bahagian dinding yang dibina untuk menyokong dinding sayap, turut runtuh.

Khairul Anuar, yang mendengar inkues itu dibantu Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim dan Lim Cheah Yit, peguam Gobind Singh Deo bagi pihak keluarga mangsa serta peguam JKP Sdn Bhd (pemilik bangunan Menara Umno) Abdul Fareed Abdul Gafoor yang dibantu Norliza Ali.

Ketika ditanya peguam Gobind Singh sama ada siasatan dijalankan oleh MPPP berhubung kejadian itu, Yew berkata perunding projek bertanggungjawab untuk mengemukakan laporan siasatan insiden berkenaan terutamanya punca kejadian.

Beliau turut memberitahu mahkamah, MPPP membenarkan perunding projek terbabit menyiapkan laporan siasatan sehingga hujung bulan ini.

Sementara itu, adik mangsa Lim Khung Ling, 43, memaklumkan kepada Koroner supaya kes berkenaan tidak ditangguh lebih lama. "Saya berharap satu sijil kematian boleh dikeluarkan kerana abang saya mempunyai keluarga dan terdapat hal-hal yang perlu diselesaikan...pinjaman bank memerlukan sijil kematian.

"Kami semua orang biasa, kami sangat susah hati. Jadi saya harap kes ini dapat diselesaikan segera," katanya.

Prosiding inkues bersambung hari ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan