Penebat Kilat Runtuh: Pengarah Jabatan Meterologi P.Pinang Sahkan Berlaku Angin Kencang, Hujan Lebat

Diterbitkan: Selasa, 3 September 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Pengarah Jabatan Meteorologi Pulau Pinang, Loh Eng Kee mengesahkan berlaku angin kencang dan hujan lebat pada lewat petang 13 Jun lepas, yang mengakibatkan penebat kilat di Menara Umno di Jalan Macalister runtuh.

Beliau berkata, berdasarkan imej satelit yang diperoleh daripada stesen pemantauan, kelajuan angin ketika itu adalah antara 30 dan 40 knot, yang mampu menyebabkan pokok bergoyang dengan kuat.

"Pada kelajuan 30 hingga 40 knot, ia juga boleh beri kesan pada bangunan tetapi bergantung kepada kekuatan struktur bangunan," kata saksi keempat prosiding inkues di depan Koroner, Khairul Anuar Abdul Halim pada Selasa.

Inkues berkenaan diadakan bagi mengesahkan kematian seorang penjual nasi, Lim Chin Aik, 44, yang dipercayai tertimbus di dalam kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister.

Inkues itu juga bagi membolehkan Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan sijil kematian dan bertujuan memudahkan urusan tuntutan insurans oleh keluarga mangsa.

Loh berkata, Jabatan Meteorologi juga mengeluarkan 'Laporan Kerosakan Akibat Ribut Petir dan Angin Kencang di Pulau Pinang pada 14 Jun' berhubung kejadian angin kuat itu.

Insiden itu turut meragut nyawa seorang pekerja asing, Jahir Sulaiman, 46, selepas lori yang dinaiki bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat Menara Umno yang runtuh.

Khairul Anuar, yang mendengar inkues itu, dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim dan Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit, peguam Gobind Singh Deo bagi pihak keluarga mangsa serta peguam JKP Sdn Bhd (pemilik bangunan Menara Umno) Abdul Fareed Abdul Gafoor, yang dibantu Norliza Ali.

Sementara itu, suasana mahkamah sedikit suram ketika ibu mangsa, Ang Kim Looi, 70, memaklumkan Khairul Anuar bahawa beliau yakin anaknya terbunuh dalam kejadian berkenaan berdasarkan bukti yang diperoleh.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak mahkamah dapat mengeluarkan sijil kematian anaknya bagi menyelesaikan beberapa perkara.

"Saya harap mahkamah dapat tolong saya, dahulu ketika dia lahir, saya telah mohon sijil kelahirannya, dan kini dia telah mati dan saya mohon sijil kematiannya dapat dikeluarkan," katanya dalam nada sebak.

Prosiding inkues bersambung pada Rabu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan