Sijil Palsu USM: Lelaki Bebas Pertuduhan Tipu Bekas Penuntut IPT

Diterbitkan: Rabu, 28 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen pada Selasa melepas dan membebaskan seorang pemilik perniagaan berasaskan teknologi maklumat daripada pertuduhan menipu seorang bekas penuntut institusi pengajian tinggi awam untuk mendapatkan sijil palsu dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Hakim G. Ramesh membuat keputusan itu selepas berpuas hati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lim Chuan Soon, 27, yang diwakili peguam V. Parthipan.

Lim didakwa menipu Wan Noorhafiza Wan Hussin, 24, bahawa dia boleh memberi sijil Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perakaunan (Kepujian) dari USM tanpa mengikuti pengajian sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM14,500 kepadanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Persiaran Perbadanan Seksyen 14 di sini antara 19 Jun dan 28 Jun 2012 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Ramesh berkata Lim tidak boleh dikatakan memperdaya Wan Noorhafiza kerana keterangan wanita itu jelas menunjukkan dia tahu sijil berkenaan adalah palsu dan boleh diperoleh tanpa mengikuti pengajian.

Mahkamah juga mendapati tidak ada jenayah penipuan dilakukan Lim, justeru pertuduhan terhadap lelaki itu adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Ramesh juga berkata terdapat percanggahan berhubung jumlah wang yang dikatakan dibayar Wan Noorhafiza kerana berdasarkan pertuduhan, mangsa membayar RM14,500 kepada Lim namun slip bayaran yang dikemuka kepada mahkamah menunjukkan bayaran sebanyak RM12,500 dan pendakwaan tidak memperjelas perkara itu sehingga akhir kes.

Beliau berkata adalah pramatang untuk mengatakan Wan Noorhafiza ditipu kerana wanita itu sendiri yang menamatkan transaksi sebelum sempat menerima sijil berkenaan.

Hakim itu berkata tiada keterangan menunjukkan Wan Noorhafiza pernah melihat individu yang berkomunikasi dengannya kerana transaksi dibuat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau Lim pemilik nombor telefon yang digunakan dalam transaksi berkenaan.

"Pihak pendakwaan sepatutnya memanggil saksi paling material dalam kes ini iaitu Lim Ghaik Kim, pemilik akaun yang digunakan dalam transaksi wang untuk kaitkannya dengan Chuan Soon. Dia (Ghaik Kim) sepatutnya dipanggil untuk menjelaskan alasan wang RM12,500 dimasukkan ke dalam akaunnya.

"Sehubungan itu, selepas menimbang segala keterangan saksi dan eksibit, mahkamah dapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap Chuan Soon dan oleh itu melepas dan membebaskan Chuan Soon tanpa dipanggil membela diri," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan