Borang 14 Tak Diserah Kerana Semua Ejen Puas Hati - Saksi

Diterbitkan: Selasa, 27 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Ketua Tempat Mengundi (KTM) Saluran 1 Balai Raya Rampai bagi Parlimen Kota Marudu Rubert Salimun memaklumkan Mahkamah Pilihan Raya pada Selasa beliau tidak menyerahkan salinan Borang 14 kepada semua Ejen Mengira Undi kerana mereka berpuas hati dengan jumlah undi yang diperoleh setiap calon.

Rubert, 43, yang pernah terlibat dalam tiga pilihan raya umum berkata kesemua ejen, termasuk bagi pempetisyen, tidak menyuarakan apa-apa bantahan kepada beliau ketika itu berhubung proses pengiraan undi dan undi yang diperoleh setiap calon.

"Setelah saya menyediakan Borang 14 dan menyerahkan kepada ejen untuk ditandatangani, satu salinan dimasukkan ke dalam sampul surat khas untuk diserah kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya, yang mana sampul khas itu dilekat dengan perekat keselamatan yang ditandatangani oleh saya sebagai KTM," katanya pada hari keenam prosiding di depan Hakim Datuk Yew Jen Kee.

Sebagai KTM, katanya, beliau juga telah mengumumkan kepada calon, ejen pilihan raya dan ejen mengira undi yang hadir berkaitan jumlah undi yang diperoleh setiap calon.

KTM Saluran 2 Sekolah Kebangsaan Ranau Jamarin@Jeffry Din Yusop, 55, juga berkata beliau tidak menyerahkan Borang 14 kepada semua ejen mengundi kerana mereka berpuas hati dengan jumlah undi yang diperoleh.

"Tambahan pula pempetisyen mendapat undi yang paling banyak di saluran saya. Mereka juga tidak menyuarakan apa-apa bantahan kepada saya ketika itu," katanya.

Pada prosiding Isnin, pempetisyen Datuk Maijol Mahap, calon PKR bagi kerusi Parlimen Kota Marudu, mendakwa beliau memperoleh jumlah undi tertinggi pada pilihan raya umum 5 Mei lepas.

Petisyen Mahap menamakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang memenangi kerusi Parlimen Kota Marudu, sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya Lovita Koisun sebagai responden kedua dan responden ketiga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun, pada 13 Ogos lepas, Yew memutuskan dakwaan amalan rasuah terhadap Ongkili digugurkan daripada petisyen itu namun menteri berkenaan kekal sebagai responden kerana beliau merupakan pemenang kerusi berkenaan.

Dalam petisyen itu, antara lain, Mahap mendakwa Borang 14, yang merekodkan jumlah undi yang diperoleh setiap calon serta bilangan undi rosak, tidak diberi kepada ejen pilihan raya PKR.

Ongkili, yang mewakili Barisan Nasional (BN), memenangi kerusi itu dengan majoriti 842 undi selepas memperoleh 15,168 undi dalam pertandingan empat penjuru manakala Mahap meraih 14,326 undi, calon Star Majamis Timbong (2,228 undi) dan Yuntau alias Kuntau Kolod (SAPP) hanya mendapat 444 undi manakala sebanyak 911 undi ditolak. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan