Kes Altantuya: Keterangan Mengikut Keadaan Tidak Cukup Untuk Kekal Sabitan Azilah, Sirul

Diterbitkan: Isnin, 26 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Keterangan mengikut keadaan adalah tidak mencukupi dan tidak cukup kukuh untuk mengekalkan sabitan kesalahan dua anggota unit tindakan khas polis membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, menurut penghakiman Mahkamah Rayuan.

Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakiman 47 muka surat yang dikeluarkan pada Isnin berkata mahkamah dikekang untuk memberikan manfaat keraguan kepada Cif Inspektor Azilah Hadri dan Korperal Sirul Azhar Umar kerana kesalahan mereka tidak dibuktikan dengan memuaskan.

"Kami sedar akan jenayah kejam yang telah dilakukan tetapi kesalahan perayu (Azilah dan Sirul Azhar) telah tidak dibuktikan secara memuaskan, (maka) kami dikekang untuk memberikan manfaat keraguan kepada perayu," katanya.

Beliau berkata mahkamah sebelum ini telah mengabaikan dan terlepas pandang fakta-fakta penting dan bukti yang memihak kepada perayu yang menyebabkan kegagalan pelaksanaan keadilan yang serius dan ketara terhadap perayu sambil menambah bahawa kesan kumulatif terhadap beberapa bukan arahan menjadikan pensabitan terhadap perayu tidak selamat.

Hakim Tengku Maimun juga berkata DSP Musa Safri merupakan saksi penting yang boleh mengungkap kejadian yang berlaku dan boleh memberikan penjelasan terhadap fakta-fakta dan boleh merapatkan jurang dalam penceritaan kes pendakwaan.

"Kami memutuskan bahawa berdasarkan fakta kes ini, iaitu peranan DSP Musa dalam membawa kedua-dua perayu ke dalam gambaran keseluruhan episod ini, keterangan beliau adalah penting untuk membentangkan penceritaan yang dijadikan asas kes pendakwaan," katanya.

Pada Jumaat lepas, tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, membebaskan Azilah dan Sirul Azhar daripada tuduhan membunuh selepas sebulat suara membenarkan rayuan mereka.

Dua lagi hakim dalam panel itu ialah Hakim Datuk Linton Albert dan Hakim Tengku Maimun. Mereka (Azilah dan Sirul Azhar) telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan dan mengenakan hukuman mati terhadap mereka atas kesalahan membunuh Altantuya.

Azilah, 37, dan Sirul Azhar, 42, dituduh membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam pada 19 Oktober, dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt, 2008 terhadap pertuduhan bersubahat dengan mereka selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie ke atasnya. Pihak pendakwaan tidak memfailkan rayuan.

Dalam penghakimannya, Hakim Tengku Maimun berkata afidavit Abdul Razak yang diambil oleh hakim perbicaraan sebagai sebahagian daripada keterangan pendakwaan mengandungi perkara-perkara memudaratkan terhadap perayu dan ia cenderung untuk mencadangkan perayu adalah bersalah.

"Malah, sejak tertuduh ketiga (Abdul Razak) dibebaskan dan dilepaskan dengan tiada rayuan dibuat pihak pendakwaan, ternyata bahawa apa sahaja yang dilakukan perayu dalam melakukan jenayah sepenuhnya adalah atas kehendak mereka sendiri.

"Bagaimanapun, ia tidak boleh terlepas pandang bahawa episod yang buruk dan dahsyat ini bermula dengan permintaan tertuduh ketiga kepada DSP Musa sebelum perayu muncul.

"Keterangan menunjukkan tanggungjawab perayu adalah untuk meronda di sekitar rumah tertuduh ketiga dan kehadiran perayu di rumah tertuduh ketiga pada malam 19.10.2006 adalah atas permintaan untuk apa-apa bantuan daripada tertuduh ketiga kepada Azilah," katanya.

Musa ialah pengawal peribadi timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada masa itu.

Tengku Maimun berkata hakim perbicaraan juga gagal mempertimbang pembelaan alibi oleh Azilah yang mendedahkan bahawa dia tidak mungkin berada di dua tempat pada masa yang sama pada malam pembunuhan Altantuya.

Katanya hakim perbicaraan gagal menangani fikirannya kepada cabaran pihak pembelaan ke atas eksibit seperti log panggilan dan ramalan liputan dan membuat dapatan mengenai kesahihan data yang merupakan bahan keterangan penting bagi menunjukkan kehadiran Azilah di tempat kejadian jenayah.

Menurut eksibit-eksibit berkenaan, Azilah berada di Pekan Subang pada 10.15 malam dan di Kampung Melayu Subang pada 10.19 malam.

Bagaimanapun diari balai polis di Bukit Aman menunjukkan bahawa Azilah berada di sana untuk mengambil senjatanya, Glock EAH 387 dan dua magazin peluru, pada 10.18 malam.

Mengenai Sirul Azhar, Tengku Maimun berkata terdapat percanggahan dan tidak membawa kepada sebarang keputusan tentang peristiwa berhubung penemuan jaket hitam dan barang kemas (barang kemas Altantuya).

Katanya menurut seorang daripada saksi-saksi polis, Sirul Azhar telah memberitahu supaya dia menyimpan barangan itu (barang kemas) dalam jaket, tetapi testimoni daripada pegawai yang lain tidak mendedahkan sebarang kenyataan sedemikian dibuat.

Tengku Maimun berkata tangggungjawab pihak pendakwaan di mana keterangan mengikut keadaan sebenarnya adalah sangat berat.

"Keadaan mesti sepenuhnya dan alasan-alasan yang ditunjukkan, rantaian keterangan mesti lengkap, bukti mesti menunjukkan mendesak kepada kesimpulan tertuduh bersalah dan tidak boleh ada sebarang jurang dalam kes pendakwaan dan jika wujud jurang di dalamnya, maka ia tidak mencukupi," katanya.

Katanya pendakwaan telah mencadangkan bahawa kehadiran perayu (Azilah dan Sirul Azhar) di Hotel Malaya pada 18 Okt, 2006 adalah bukti niat mereka untuk melakukan jenayah.

"Bagaimanapun, kesimpulan memihak kepada perayu juga boleh disediakan iaitu bahawa kehadiran mereka adalah semata-mata untuk mengesahkan bahawa di mati (Altantuya) adalah memang menginap di hotel itu sebagai satu maklumat yang diberikan oleh penyiasat persendirian kepada Abdul Razak dan oleh Abdul Razak kepada Azilah," katanya.

Tengku Maimun berkata kehadiran perayu di Hotel Malaya tidak menunjukkan rantaian keterangan yang lengkap ke atas mereka untuk mendapati mereka bersalah.

Katanya pendakwaan juga mengakui bahawa terdapat pelbagai bukan arahan oleh hakim perbicaraan dan meminta mahkamah untuk menggunakan proviso Seksyen 60 (1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk membetulkan kecacatan untuk menegakkan sabitan komando polis itu.

"Melihat kepada keseluruhan keterangan dan hal keadaan kes ini, kita berpandangan bahawa ini bukan kes yang layak dan sesuai untuk kita menggunakan proviso itu. Keadaan yang digunakan oleh pihak pendakwaan tidak sepenuhnya dan alasan-alasan yang ditunjukkan dan rantaian bukti tidak lengkap.

"Kita tidak boleh mengatakan jika tribunal yang munasabah diarah dengan betul boleh mensabitkan perayu berdasarkan keterangan yang ada," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan