Kontroversi Kalimah Allah Perlu Diselesaikan - Mahkamah Rayuan

Diterbitkan: Khamis, 22 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Barisan peguam yang diketuai oleh Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar (dua, kanan) kelihatan ceria selepas Mahkamah Rayuan di sini, Khamis menolak permohonan Gereja Roman Katolik bagi membatalkan rayuan kerajaan dan Majlis Agama Islam berhubung kebenaran menggunakan kalimah
Barisan peguam yang diketuai oleh Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar (dua, kanan) kelihatan ceria selepas Mahkamah Rayuan di sini, Khamis menolak permohonan Gereja Roman Katolik bagi membatalkan rayuan kerajaan dan Majlis Agama Islam berhubung kebenaran menggunakan kalimah "Allah" dalam majalah mingguan Katolik, The Herald. -Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kontroversi berhubung isu penggunaan kalimah 'Allah' dalam sebuah akhbar mingguan Katolik 'The Herald' perlu diselesaikan.

Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin mengarahkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah 'Allah', didengar pada 10 September ini.

Panel hakim yang turut dianggotai Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Rohana Yusuf itu membuat keputusan berkenaan selepas sebulat suara menolak permohonan Gereja Katolik untuk membatalkan rayuan kerajaan.

Dalam penghakimannya, Abu Samah berkata bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memfailkan afidavit yang memperjelas bahawa isu penggunaan kalimah 'Allah' bukanlah sebahagian daripada penyelesaian 10 perkara. "Oleh itu, ia tidak terpakai dalam kes ini. Perkara ini (rayuan) tidak boleh dianggap akademik kerana masih terdapat isu dan kontroversi yang perlu diselesaikan," katanya.

Berdasarkan persetujuan bersama pihak gereja, Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan dan Majlis Agama Islam di enam negeri, Mahkamah Rayuan tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

Gereja Katolik memfailkan permohonan bagi membatalkan rayuan kerajaan pada 8 Julai lepas.

Pada 16 Februari 2010, pihak gereja memfailkan semakan kehakiman dengan menamakan KDN serta kerajaan sebagai responden, dan memohon antara lain, satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam The Herald adalah tidak sah.

Akhbar mingguan itu, yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah 'Allah' sebagai terjemahan untuk 'God' bagi seksyen bahasa Malaysia terutama bagi memenuhi keperluan masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, kerajaan berhujah penggunaan kalimah 'Allah' hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh umat Islam.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan KDN melarang The Herald menggunakan kalimah 'Allah' adalah salah, batal dan tidak sah.

Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

Terdahulu, peguam Porres Royan, yang mewakili pihak gereja, berhujah rayuan kerajaan harus dibatalkan kerana tidak ada sebarang kontroversi atau pertikaian berhubung penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan Katolik.

Beliau berkata ini kerana penyelesaian sepuluh perkara yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dialamatkan kepada pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia Ng Moon Hing membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah 'Allah' dalam kitab Bible Bahasa Indonesia/Bahasa Malaysia serta bahasa pribumi Iban, Kadazan-Dusun dan Lun Bawang. "Kami berpendapat kerajaan sudah mengubah pendiriannya berhubung penggunaan kalimah berkenaan," katanya sambil menambah penyelesaian sepuluh perkara itu merupakan keputusan kolektif Kabinet dan ia turut membincangkan isu kalimah 'Allah'.

Porres berkata kesannya ialah kalimah 'Allah' kini boleh digunakan dalam Bible Bahasa Indonesia/Bahasa Malaysia serta bahasa pribumi lain dan kitab ini boleh diimport serta dicetak. "Jika kabinet sudah memberi kebenaran berhubung penggunaan kalimah itu dalam Bible, maka sudah semestinya ia boleh juga digunakan dalam penerbitan," katanya.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili KDN dan kerajaan berhujah bahawa rayuan mereka tidak harus dibatalkan kerana terdapat isu yang perlu diputuskan. "Permohonan yang difail pemohon adalah remeh dan perlu ditolak," katanya.

Beliau berkata isu di depan Mahkamah Tinggi adalah berkaitan kuasa budi bicara Menteri Dalam Negeri mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan berhubung permit pencetakan The Herald manakala penyelesaian sepuluh perkara membincangkan isu kitab Bible.

Peguam Mubashir Mansor, yang mewakili Majlis Agama Islam Terengganu pula berhujah semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhad kepada keputusan pentadbiran KDN bertarikh 7 Januari 2009.

Oleh itu, beliau berkata penyelesaian sepuluh perkara tidak boleh diambil kira kerana dibuat selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah berhubung permohonan semakan kehakiman oleh pihak gereja.

"Surat Perdana Menteri bertarikh 11 April 2011 itu tidak menyentuh perjara dalam rayuan berkenaan. Beliau tidak mengatakan bahawa The Herald boleh menggunakan kalimah Allah," kata Mubashir.

Peguam Hanif Khatri Abdulla, yang mewakili Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) berkata arahan Kabinet adalah khusus untuk import dan eksport kitab Bible secara fizikal namun tidak menyentuh kandungannya.

Beliau berkata Hishammuddin, dalam afidavitnya memperjelas mengapa penyelesaian sepuluh perkara dikeluarkan dan apa yang dipertimbang serta sebaliknya. Hishammuddin juga berkata Kabinet tidak membuat sebarang keputusan berhubung penggunaan kalimah Allah.

Hishammuddin berkata keputusan Kabinet pada 11 April 2011 hanyalah mencari jalan untuk mengatasi masalah berhubung import, pencetakan, pengagihan serta penggunaan kitab Bible dalam Bahasa Malaysia di negara ini.

Lebih 300 anggota badan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkasa, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Macma berhimpun di pekarangan mahkamah seawal 7 pagi.

-BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan