Ahmad Zahid Tarik Balik Saman Sivil Terhadap Rafizi

Diterbitkan: Rabu, 21 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Mohd Rafizi Ramli selepas pengarah strategik PKR itu bersetuju mengeluarkan kenyataan yang diakuinya tidak betul daripada blognya.

Dalam kenyataan yang dibacanya di Mahkamah Tinggi di sini, Mohd Rafizi berkata Ahmad Zahid tidak menyalahguna kuasanya (ketika menjadi Menteri Pertahanan) dalam apa jua cara dan tidak mempunyai peranan dalam penetapan keputusan berkaitan transaksi pembelian saham dan tanah pembangunan.

"Saya berpuas hati dengan penjelasan plaintif (Ahmad Zahid) bahawa plaintif tidak menyalahguna kuasanya dalam apa jua cara dan tidak mempunyai sebarang peranan dalam keputusan Boustead Holdings Berhad untuk menyertai transaksi bagi memperoleh saham dan tanah pembangunan milik Astacanggih Sdn Bhd daripada Awan Megah Sdn Bhd seperti yang disebut dalam artikel saya bertarikh 29 Disember 2012.

"Oleh itu, dengan ini, saya secara sepenuh hati dan tanpa sebarang syarat menarik balik kenyataan tidak benar yang saya buat dalam artikel saya itu berkaitan plaintif," katanya.

Peguam Datuk Saseedharan Menon, yang mewakili Ahmad Zahid, memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid menerima kenyataan itu dan menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Mohd Rafizi. Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong meluluskan permohonan itu dan mengetepikan saman berkenaan, tanpa sebarang perintah berkaitan kos.

Ahmad Zahid memfailkan saman itu pada 25 Jun dengan mendakwa Mohd Rafizi menyiarkan dalam laman blognya, RafiziRamli.com, satu artikel yang mengandungi perkara tidak benar dan ditulis dengan niat jahat untuk memberi gambaran negatif tentang beliau (Ahmad Zahid).

Ahmad Zahid menuntut ganti rugi am, khas dan teladan serta penarikan balik artikel itu sepenuhnya serta permohonan maaf dalam empat akhbar harian tempatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan