Penganjur Seksualiti Merdeka Gagal Rayuan

Diterbitkan: Isnin, 19 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Penganjur Seksualiti Merdeka gagal dalam rayuan mereka untuk kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap polis untuk mencabar keputusan polis mengharamkan Festival Seksualiti pada November 2011.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Clement Allan Skinner memutuskan keputusan polis mengharamkan program itu tidak boleh dipinda melalui semakan kehakiman.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan Datuk David Wong Dak Wah menolak rayuan yang difailkan oleh Pang Khee Teik, 39, Angela Marianne Kuga Thas, 48, S. Thilaga Socky Pillai, 25, Siti Zabedah Kasim, 49, dan Md Nor Ismat Selamat, 30.

"Pengumuman pengharaman aktiviti itu dibuat kerana melaksanakan tugas selaku Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar (sekarang Ketua Polis Negara) untuk menyiasat dakwaan kesalahan di bawah undang-undang," kata Skinner.

Beliau berkata keputusan mengharamkan program itu tidak boleh dikategorikan sebagai menyalahgunakan budi bicara termasuk untuk menyiasat kesalahan yang dilakukan.

Skinner juga berkata keputusan Khalid mengharamkan program itu bukan pencegahan kerana program itu telah berlangsung selama dua hari dan dijadual diadakan selama tiga hari lagi.

Beliau berkata mahkamah juga bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa permohonan perayu adalah akademik.

Pada 9 Disember 2011, perayu memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan mengharamkan program itu.

Mereka menamakan Khalid, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Nor Azman Muhammad Yusuf dan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Ismail Omar sebagai responden.

Dalam permohonan itu, mereka mendakwa Khalid telah membuat keputusan mengisytiharkan pengharaman sebarang majlis berkaitan program Seksualiti Merdeka pada sidang media 3 November 2011, kerana ia menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perkara 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan itu dan satu perintah dikeluarkan kepada responden agar memberikan semua salinan laporan polis yang dibuat berhubung bantahan program Seksualiti Merdeka kepada pihak penganjur.

Mereka mendakwa Khalid telah bertindak atas salah faham atau sengaja tidak mahu mengakui fakta sebenar bahawa majlis itu bukan bertujuan untuk aktiviti yang menyesatkan, menyebabkan kekacauan, permusuhan atau rusuhan atau mengancam keselamatan negara.

Seksualiti Merdeka ialah festival tahunan memperjuangkan hak sama rata untuk golongan homoseksual dan transeksual seperti gay, lesbian, biseksual, interseks serta transgender.

Pada 1 Mac tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak untuk memberi kebenaran kepada perayu bagi memulakan semakan kehakiman.

Penganjur diwakili peguam Honey Tan Lay Ean manakala responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan