Koperal Polis Mengaku Tidak Bersalah Lepaskan Tahanan Dari Lokap

Diterbitkan: Jumaat, 16 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang koperal polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan dengan sengaja melepaskan seorang tahanan warga Nigeria dari lokap Balai Polis Jinjang, Isnin lalu.

Kpl M. Eamulai, 52, didakwa melepaskan Osuji Kelly Prince, 25, yang ditahan atas kesalahan dadah di Lokap Berpusat Jinjang, di sini, antara 9.30 pagi dan 10.46 pagi, 12 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 225 (C) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suzanne Tiyon Bimen tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kes tersebut adalah serius kerana tertuduh melepaskan tahanan yang berhadapan kes dadah yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Katanya, alasan yang dikemukakan peguam G. Ganeson mengenai penyakit yang dihidapi anak guamnya iaitu sakit tulang belakang akibat kemalangan dan kencing manis tidak disokong oleh dokumen sah atau bukti di mahkamah.

Bagaimanapun, Suzanne berkata beliau menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.

Hakim Dazuki Ali tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 29 Ogos untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan