Ibrahim Ali Gagal Ketepi Perintah Prosiding Komital

Diterbitkan: Jumaat, 16 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali untuk mengetepikan perintah bagi memulakan prosiding komital terhadapnya yang diperoleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Datuk John Louis O'Hara juga memerintahkan Ibrahim membayar kos RM5,000 kepada Anwar.

Dalam penghakimannya, O'hara memutuskan bahawa Anwar berjaya membuktikan kes prima bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ibrahim.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos untuk pengurusan kes.

Anwar diwakili peguam R. Sivarasa manakala Ibrahim oleh Rajinder Singh.

Pada 5 April lepas, Ibrahim memfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah itu atas alasan beliau dan/atau Perkasa tidak bertanggungjawab terhadap penerbitan sebuah artikel berkaitan seorang hakim di laman sesawang www.pribumiperkasa.com.

Pada 5 Mac lepas, O'Hara membenarkan permohonan Anwar untuk memulakan prosiding komital terhadap Ibrahim dan penulis artikel itu, Zainuddin Salleh.

Pada 17 Jan lepas, Anwar memfailkan permohonan itu dan mendakwa penerbitan artikel berkenaan di laman sesawang Perkasa pada 7 Jan lepas menjatuhkan maruah hakim yang mendengar kes fitnah beliau terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan Ketua Pengarangnya, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Kes saman itu adalah berkaitan artikel yang disiar defendan berhubung temu bual Anwar dengan British Broadcasting Corporation (BBC).

Pada 21 Januari lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kedua-dua artikel yang diterbitkan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd berhubung temu bual Anwar dengan BBC berkaitan undang-udang homoseksual, adalah bersifat memfitnah.

Anwar, dalam permohonan bagi prosiding komital, mendakwa artikel yang disiar di laman sesawang Perkasa mengandungi serangan peribadi terhadap hakim berkenaan yang terjumlah kepada penghinaan, dan disiar sebelum beliau membuat keputusan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan