BN Kekal Menang Di DUN Lubok Merbau

Diterbitkan: Rabu, 14 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubok Merbau selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan petisyen yang difail seorang pengundi untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) bagi kawasan itu.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan itu selepas mendapati pempetisyen Mohd Ridzuan Hasif tidak mematuhi Peraturan 9 dan Peraturan 34 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

"Pempetisyen tidak mematuhi perintah itu apabila petisyen pilihan raya telah difailkan firma guaman bukan oleh pempetisyen atau peguamnya," kata beliau.

Perintah berkenaan hanya membenarkan Mohd Ridzuan atau peguamnya memfailkan petisyen pilihan raya dan bukan firma guaman.

Abdul Rahman memerintahkan Mohd Ridzuan membayar kos masing-masing RM50,000 kepada responden pertama iaitu anggota DUN Lubok Merbau Datuk Siti Salmah Mat Jusak daripada Barisan Nasional (BN) dan responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada prosiding hari ini, mahkamah tidak membenarkan tiga peguam yang mewakili pempetisyen untuk berhujah kerana ketiga-tiga peguam itu tiada locus standi dan nama mereka tidak disenarai sebagai peguam pempetisyen.

Abdul Rahman berkata pempetisyen juga tidak boleh mewakili dirinya sendiri untuk berhujah kerana tidak mengikut Perintah 9 Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya.

"Perintah 9 menyatakan bahawa dalam notis petisyen berkenaan perlu dinyatakan bahawa pempetisyen mewakili dirinya sendiri, namun pempetisyen tidak berbuat demikian dan hanya memberi kuasa kepada peguamnya," katanya.

Dua peguam yang mewakili Siti Salmah ialah Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Abu Bakar As Sidiq manakala Peguam Kanan Persekutuan Norazmi Mohd Narawi dan Muhamad Anas Mahadzir mewakili SPR.

Pada 30 Julai lepas, BN mengekalkan kemenangan di DUN Lubok Merbau selepas mahkamah menolak petisyen yang difailkan seorang lagi pengundi Abdul Karim Abdul Rashid setelah mendapati pempetisyen gagal mengikuti kehendak-kehendak mandatori dan petisyen yang difailkan cacat, kerana tidak mematuhi Perintah 9 dan 34 Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.

Pada PRU13, calon BN Siti Salmah mengalahkan calon PAS Mohd Zainudin Mohd Yusof dengan majoriti 53 undi bagi kerusi itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan