Tiada Keistimewaan Diberi Kepada Permohonan Ekstradisi Rakyat Iran - Peguam Negara

Diterbitkan: Rabu, 7 Ogos 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menafikan pejabatnya melaksanakan amalan memberikan keistimewaan kepada mana-mana negara tertentu termasuk Amerika Syarikat (AS), khususnya dalam permohonan baru-baru ini bagi ekstradisi anak lelaki orang kenamaan Iran.

Beliau memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin bahawa tidak perlu campurtangan daripada AS atau pejabatnya tetapi hanya memenuhi kewajipan Malaysia terhadap perjanjian ekstradisi antara kedua-dua negara.

Peguam Negara berkata demikian semasa menjawab kenyataan peguam mewakili rakyat Iran itu Sajad Farhadi, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak harus dilihat sebagai cuba memuaskan hati Amerika Syarikat atau tunduk kepada sebarang desakan antarabangsa berhubung perkara itu.

Shafee membuat kenyataan itu semasa menyampaikan hujahan berhubung permohonan penangguhan oleh Kementerian Dalam Negeri dan tiga yang lain berhubung keputusan Mahkamah Tinggi minggu lepas yang membenarkan permohonan habeas corpus bagi pembebasan Sajad.

Bagaimanapun, lelaki itu ditahan semula oleh pegawai imigresen dalam mahkamah dan mendapat bantahan keras Muhammad Shafee, mendorong Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa penahanan itu adalah sah di sisi undang-undang dan konsisten dengan Akta Imigresen 1959/63, dengan Gani menjelaskan Sajad ditahan untuk membantu siasatan jabatan itu bagi salah guna visa.

Pada 11 November tahun lepas, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk membolehkan Kementerian Dalam Negeri mengekstradisi Sajad ke AS.

Sajad dikehendaki pihak berkuasa AS bagi 30 pertuduhan melanggar sekatan perdagangan terhadap Iran, pemalsuan dan penyeludupan barangan di Northern District of California.

Semasa membenarkan permohonan habeas corpus itu Jumaat lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan perintah yang dikeluarkan mahkamah lebih rendah dan waran komital dikeluarkan mengikut Seksyen 20 Akta Ekstradisi 1992 tidak mengikut undang-undang yang sesuai dan dengan itu Sajad dibebaskan serta merta.

Pada prosiding pada Rabu, Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup yang mewakili pemohon berhujah bahawa keputusan Mahkamah Tinggi itu patut diberikan perintah penangguhan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Hujahnya Seksyen 311 Kanun Acara Jenayah dan Seksyen 57 Akta Mahkamah mahkamah 1964, membolehkan mahkamah memberikan penangguhan itu.

Sementara itu, Muhammad Shafee menjawab keputusan Mahkamah Tinggi adalah muktamad dan Pejabat Pendakwa Raya tidak boleh memohon sebarang semakan di Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, kedua-dua seksyen yang digunakan oleh Manoj tidak boleh diguna pakai dalam kes Sajad atau mana-mana permohonan habeas corpus yang lain.

"Beliau telah ditahan hampir setahun setengah, tiada apa dilakukan sepanjang tempoh itu. Kini mereka (pegawai imigresen) dilihat seolah-olah terjaga daripada mimpi indah dengan menahannya semula," hujah Shafee.

Hakim Mohd Azman menetapkan 14 Ogos untuk membuat keputusan berhubung permohonan itu. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan