Jurutera Cuai Memandu Didenda RM7,000 Sebabkan Kematian Pramugari

Diterbitkan: Khamis, 25 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Seorang jurutera didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian seorang pramugari pada 2010.

Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha turut memerintahkan Tan Chia Hui, 25, dipenjara tujuh bulan jika gagal membayar denda itu dan mengarahkan tertuduh membayar pampasan RM4,000 kepada keluarga mangsa.

Keluarga Tan membayar denda itu.

Tan didakwa memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian Ng Sweet Yuin, 27, pukul 3 pagi pada 2 Disember 2010 di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.

Tertuduh yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan di bawah Seksyen 43(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Faisal Md Noor memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana mendakwa kemalangan itu berlaku disebabkan kecuaian tertuduh memandu secara bertentang arus di lebuh raya berkenaan hingga menyebabkan mangsa terkorban.

Bagaimanapun, peguam bela Baljit Singh yang mewakili Tan memohon hukuman ringan kerana ketika kejadian anak guamnya berusia 22 tahun dan masih menuntut, insiden itu telah menyebabkan tertuduh benar-benar insaf.

"Tan mengaku melakukan kesilapan dan pengakuan insaf itu telah menjimatkan masa mahkamah dan penderitaan keluarga mangsa," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Ng Choon Sum, 59, dan ibu Thniah Poh Choo, 55, yang turut menghadiri prosiding mahkamah hari ini kelihatan menangis selepas keputusan itu dibacakan Majistret.

Choon Sum berkata keluarganya akan membuat rayuan terhadap keputusan itu kerana mendakwa ia tidak adil.

"Anak saya telah hilang buat selama-lamanya dan mahkamah hanya menjatuhkan hukuman ringan iaitu denda RM7,000 dan penjara sekiranya tidak bayar," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan