Wanita Dipenjara Setahun Tipu Ahli Perniagaan RM1.2 Juta

Diterbitkan: Selasa, 23 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Seorang ejen hartanah dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini Selasa selepas didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan membabitkan modal pelaburan RM1.2 juta.

Hakim Asmadi Hussin menjatuhi hukuman itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan tertuduh, Norhuda Mahat, 52, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Norhuda didakwa atas tiga pertuduhan pindaan memperdayakan Datuk M. Azmi Md Amin, 52, untuk mempercayai bahawa tertuduh seorang pengurus pelabur yang dilantik oleh MIG Bank, Switzerland dengan kelulusan Bank Negara Malaysia dan dengan itu mendorong M. Azmi untuk menyerahkan wang berjumlah RM500,000, RM300,000 dan RM400,000 kepadanya sebagai modal usahasama pelaburan bagi skim 'Spot Off-Foreign Currency Exchange' (Dagangan Forex Islam).

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Empire Shopping Gallery Subang Jaya, Petaling Jaya dekat sini pada 12 Nov 2010, 24 Mac 2011 dan 30 Mac 2011.

Kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Hakim memerintahkan Norhuda menjalani hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan dan ketiga-tiga hukuman penjara diarah dijalankan secara serentak berkuat kuasa Selasa. Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga proses rayuan di Mahkamah Tinggi selesai dan memerintahkan Norhuda membayar jaminan RM60,000 serta melapor diri di Balai Polis SS17, Subang Jaya pada Isnin pertama setiap bulan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan atas alasan dia perlu menanggung tujuh anak termasuk tiga anak angkat serta ibu yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Norhuda berkata dia kini menumpang di rumah ibunya kerana rumahnya telah diserahkan kepada pengadu sebagai penyelesaian tuntutan pengadu dalam kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Faten Hodni Khairuddin memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malah kepada bakal pesalah lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.

"Kes ini serius bukan sahaja kerana melibatkan kerugian RM1.2 juta tetapi tertuduh tidak mendapat kelulusan Bank Negara untuk menjalankan pelaburan Forex.

Semasa memberi keterangan tertuduh tahu bahawa tindakannya tidak mendapat kelulusan Bank Negara tetapi dia masih teruskan juga menerima wang daripada pengadu dan mengajak pengadu bekerjasama bukan sekali tetapi melibatkan tiga transaksi," katanya.

Sepanjang perbicaraan, lima saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan