Anggota Polis Diperintah Bela Diri, Sembunyi Maklumat Aktiviti Pengganas - Berita Mahkamah | mStar

Anggota Polis Diperintah Bela Diri, Sembunyi Maklumat Aktiviti Pengganas

Diterbitkan: Rabu, 17 Julai 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini Rabu memerintahkan seorang anggota polis, yang didakwa menyembunyikan maklumat mengenai aktiviti penganas di Sabah, membela diri.

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim P.Ravinthran berkata pihak pendakwaan, diketuai oleh Datuk Nordin Hassan, telah menghasilkan kes prima facie terhadap Korporal Detektif Hassan Ali Basari selepas mereka mengemukakan 18 saksi dalam perbicaraan empat hari bermula 24 Jun.

Hakim menetapkan 24, 25 dan 26 Julai bagi pendengaran, dengan sekurang-kurangnya empat saksi dan tertuduh.

Menurut hakim, beliau puas hati dengan bukti komunikasi yang dipintas pada nombor telefon Hassan, yang dilakukan secara sah.

Beliau juga berkata pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu oleh apa yang dipanggil Tentera Diraja Sulu dari Filipina Selatan berlaku dan tertuduh gagal mendedahkan maklumat relevan ketika beliau berpeluang untuk berbuat demikian.

Hassan didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari dan 3 Mac di pejabat Cawangan Khas Lahad Datu.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hassan diwakili Kamarudin Mohamad Chinki dan Ram Singh. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan